Mulakan hari anda dengan sarapan bertemakan R32 GT-R

oleh Mohamad Hanif|
Sering kali kita mendengar para peminat bola sepak mempunyai satu mantera atau kata-kata semangat yang berbunyi: "makan bola, minum bola, tidur bola" - gambaran bahawa sukan bola sepak adalah segalanya dalam hidup.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Begitu juga dengan para peminat dan pencinta kereta berprestasi tinggi dari Jepun, Nissan GT-R, sehinggakan apa jua barangan berunsurkan GT-R akan turut disambar bagi menggambarkan semangat cinta yang tinggi terhadap jenama itu. 

Sebut sahaja barangan - t-shirt, jam tangan, poster, malah  smartphone pun kalau boleh perlu ada unsur GT-R!

 


Bagi menyemarakkan rasa semangat cinta kepada Nissan GT-R, sebuah syarikat dari Jepun, Waki PrintPia telah memperkenalkan sebuah gril sandwich berlogokan GT-R. 

Logo GT-R yang diperkenalkan semasa generasi R32 itu diabadikan supaya anda boleh menikmati sarapan pagi - terutamanya sarapan berasaskan roti - berlogokan GT-R. Hebat bukan?

Permukaan pan ini disaluti dengan bahan jenis fluorine non-stick coating bagi memudahkan kerja-kerja anda sebelum keluar mencapai kunci GT-R untuk ke tempat kerja. 

Menurut deskripsi produk, gril sandwich ini merupakan sebuah produk yang berasal dari Bandar Tsubame, Niigata Prefecture di mana ia terkenal di Jepun sebagai sebuah kawasan pemprosesan logam. 
 


Sekiranya anda duduk di Jepun dan berminat untuk mendapatkan utensil ini, boleh cuba melayari laman web ini dan menyediakan bayaran sebanyak ¥5,400 (RM210) sahaja. 

Dikhabarkan peralatan memasak GT-R ini akan diperkenalkan secara rasmi pada NISMO Festival di Fuji Speedway pada 9 Disember ini. 

Oh ya, jangan lupa sarapan anda!