Menurut beliau, pendigitalan My50 ini membolehkan pengguna mengesahkan identiti mereka sebagai warganegara Malaysia melalui sistem eKYC, sebelum memperbaharui pas menggunakan kad TNG yang menyokong fungsi NFC tanpa perlu menunjukkan kad pengenalan.
"Kini, setiap pengguna mengambil masa 2 hingga 3 minit untuk memperbaharui pas di kaunter. Bayangkan kalau ada 15 orang dalam barisan boleh cecah sehingga 45 minit. Dengan langkah digital ini, saya yakin masalah itu dapat diselesaikan," ujar beliau dalam satu taklimat media bersama Prasarana dan Touch ‘n Go.
Langkah ini juga dilihat sebagai usaha kerajaan dalam mempertingkatkan kemudahan serta pengalaman pengguna pengangkutan awam, selain menyokong agenda negara ke arah transaksi tanpa tunai.

Tambah beliau, sistem tiket yang efisien adalah sebahagian daripada elemen penting dalam ekosistem pengangkutan awam berkelas dunia.
Pendekatan ini turut sejajar dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang menekankan keperluan mobiliti bersepadu dan mampan dalam pembangunan bandar. Dalam masa yang sama, beliau menggesa para operator pengangkutan awam agar terus meneroka teknologi baru, termasuk penggunaan AI dalam sistem bayaran untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan manusia.
Selain pas My50, Prasarana turut merancang memperluaskan pendigitalan kepada pas MyCity dan MyTouristdalam masa terdekat.
Langkah ini dijangka meningkatkan kemudahan akses pengguna, mengurangkan kebergantungan kepada transaksi tunai serta memberikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan pantas.