Pada 14 November 2025, Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah melancarkan Malaysian Standard MS 2818: Battery passport for electrified vehicle – General requirements, dokumen piawai yang bertujuan menjadi “passport” digital bagi setiap bateri EV.
Ia dilancarkan semasa acara berkaitan industri automotif dan teknologi dan dikembangkan bersama agensi berkaitan seperti MARii.
Apa itu “battery passport” ?
Fikirkan battery passport macam sijil pengenalan hidup bateri, rekod digital yang menyimpan maklumat penting sepanjang kitar hayat bateri, dari kilang hingga ke pusat kitar semula.
MS 2818 menetapkan garis panduan umum tentang maklumat yang perlu direkod, mekanisme jejak, dan tujuan utamanya untuk meningkatkan ketelusan, kebolehsusulan (traceability) dan kemampanan (sustainability) rantaian bekalan bateri EV.
Ia turut memudahkan pengesanan sumber bahan, menggalak penggunaan semula (repurposing), dan memastikan pelupusan/ kitar semula dibuat mengikut amalan selamat.
Langkah ini sebenarnya bukan perkara asing dalam industri, di Eropah, EU Battery Regulation 2023 sudah mewajibkan Battery Passport bermula 2027 untuk semua bateri EV dan pek simpanan tenaga.
Di Jerman, gergasi seperti Mercedes dan BMW sudah menjalankan projek perintis bersama Global Battery Alliance (GBA), organisasi yang mencipta standard Battery Passport di peringkat global.
China pula, seperti biasa, lebih awal ke depan di mana mereka dah lama mewajibkan rekod ‘traceability’ bateri melibatkan NCM, LFP, dan sumber litium untuk kawal rantaian bekalan domestik.
Rakan Asia lain seperti Korea Selatan juga tidak ketinggalan, di mana LG Energy Solution dan Samsung SDI sudah pun menyediakan data pasport bateri untuk klien global sebagai sebahagian daripada strategi ESG.
Kenapa Malaysia buat standard ini sekarang?
Peralihan ke EV bukan sekadar tukar enjin, ia melibatkan perubahan ekosistem, bateri litium adalah komponen berharga dan berisiko, dari segi bahan mentah hingga sisa.
MS 2818 muncul untuk merangka kerangka kerja yang membolehkan pengawalseliaan lebih mudah, mengurangkan risiko alam sekitar, dan menarik pelaburan serta rakan kongsi industri yang mahukan kebolehlacakan (transparency) dalam rantaian bekalan.
Apa jenis maklumat yang mungkin ada dalam passport bateri?
MS 2818 adalah dokumen piawai umum, sifat passport bergantung kepada pengeluar dan sistem digital yang digunakan, secara amnya, passport bateri boleh mengandungi:
- Identiti bateri: nombor siri, model, tarikh pembuatan, pengilang.
- Spesifikasi teknikal: jenis kimia (NMC, LFP, dsb.), kapasiti awal (kWh), voltan, konfigurasi pack/modules.
- Sejarah operasi: data penggunaan penting (kilometer, kitaran cas), rekod penyelenggaraan, tahap kesihatan bateri (SoH).
- Jejak bahan: asal bahan mentah kritikal (contoh: kobalt, nikel), bukti pematuhan etika/ketelusan.
- Maklumat akhir hayat: cadangan repurpose, status kitar semula, pusat pengurusan sisa yang diluluskan.
Bagaimana proses pelaksanaannya di Malaysia?
- Pembangunan piawai - JSM sebagai badan standard nasional menyediakan MS 2818, bekerjasama dengan pihak industri dan institusi awam seperti MARii.
- Penerimaan industri - pengeluar kenderaan, pembekal pek bateri dan penyedia perkhidmatan perlu mengintegrasikan sistem data supaya passport boleh dijana dan dikemas kini.
- Sistem digital & keselamatan data - passport berasaskan rekod digital (cloud/ledger) memerlukan piawaian keselamatan, interoperabiliti dan protokol akses.
- Fasa pematuhan & penguatkuasaan - bergantung kepada polisi kerajaan/agensi, pelaksanaan boleh dimulakan sebagai sukarela diikuti langkah pematuhan mandatori secara berperingkat.
Berita rasmi menyebut MS 2818 sebagai standard “general requirements”, bermakna ia menetapkan asas, pelaksanaannya secara teknikal akan bergantung pada roadmap kerajaan dan adaptasi industri.
Apa maksudnya untuk pengguna, mekanik dan bengkel?
- Pemilik EV: lebih banyak maklumat tentang asal dan keadaan bateri, potensi sokongan selepas jualan yang lebih baik, kemungkinan nilai jualan semula yang lebih jelas.
- Mekanik/bengkel: akses kepada sejarah bateri dan cadangan repurpose/kitar semula memudahkan diagnosis dan pembaikan.
- Pembangun & industri kitar semula: data standard memudahkan proses pengambilan bateri terpakai untuk repurpose atau pemulihan nilai.
Ini merupakan langkah pertama di Asean yang tersusun tentang battery passport, jika diadaptasi oleh negara jiran, ia bakal memudahkan rantaian bekalan yang lebih telus di rantau ini, dan membantu Malaysia menarik pelaburan dalam teknologi EV, pengujian dan pusat repurposing/kitar semula.