MS 2669: 2017 bakal buat penjual filem "tint" kenderaan gred ayam berpeluh.

oleh HEZERI SAMSURI|
Garis panduan yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi lebih menjerumus ke arah kualiti produk itu sendiri dan bukannya ada kena mengena dengan VLT atau Peratusan Ketelusan Cahaya.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, walaupun cuma ada sebanyak 112 aduan (2013-2019) diterima dari pengguna berkaitan produk filem penghadang haba kenderaan ini, pihak kementerian mahu mengambil tindakan proaktif agar gejala itu tidak merebak sehingga di luar kawalan.
launching MS9664


Garis panduan yang dihasilkan akan membantu pengguna untuk tidak terjebak dalam membeli produk filem penghadang haba kenderaan yang mempunyai kualiti rendah.

Saifuddin berkata pihak KPDNHEP bekerjasama pelbagai agensi dan NGO yang lain seperti:

  • Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)
  • Institut Penyelidikan Keselamatan Jaan Raya Malaysia (MIROS)
  • Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii)
  • Pertubuhan Perniagaan Aksesori Otomotif Malaysia (AAA)
  • Malaysia Window Film Manufacturers (MWFA)

 

 

Menteri tersebut turut menyenaraikan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh pengguna berkaitan penggunaan filem penghadang haba kenderaan yang di bawah standard:

Antara masalahnya ialah:

  • Menjual filem penghadang haba bangunan untuk pengguna kenderaan
  • Wujudnya gelembung-gelembung udara
  • Cermin kenderaan jadi berkabus dan kabur selepas beberapa bulan
  • Hilang warna selepas beberapa bulan
  • Gagal menangkis kemasukan haba

"Kerana itu kami mewujudkan Standard MS2669:2017 ini untuk memastikan pengguna Malaysia tidak tertipu dengan produk yang tidak berkualiti atau palsu," sambung beliau lagi.

 

 

Menurut Datuk Che Sukri Che Mat, Pengarah Bahagian Standard Kepenggunaan di KPDNHEP (gambar atas) yang sering berhubung dengan Careta untuk isu-isu kepenggunaan automotif, standard yang diumumkan itu berbeza dengan kadar ketelusan cahaya atau VLT.

"Itu (VLT) di bawah kawalan JPJ. Bagi pihak KPDNHEP, ia lebih kepada kualiti produk itu sendiri," tegasnya.

Namun begitu, faktor VLT ada termaktub di dalam siri ujian yang dilakukan untuk mendapatkan pengesahan kualiti terbaharu ini.

Untuk mengesahkan produk tersebut lulus ujian kualiti dan layak untuk menerima label pengesahan MS2669: 2017 dan juga kod QR, ujian dan pengesahan produk akan dilakukan oleh SIRIM QAS. 

 

 

Kod QR itu boleh dibaca dengan aplikasi Check Your Label oleh Sirim QAS International yang boleh dimuat turun dari Google Play atau Apple App Store.

Di bawah ialah senarai Soalan Lazim (FAQ) berkaitan Standard MS2669: 2017. Jawapan-jawapan adalah dari KPDNHEP sendiri dan juga dari kajian Careta mewawancara sumber-sumber industri.

1. Bilakah garis panduan pematuhan Standard filem penghadang haba kenderaan ini dikuatkuasakan?
Ia akan dikuatkuasakan bermula 20 Jun 2019, secara sukarela. Ini bermakna pembuat, pengimport dan pemborong produk itu tidak wajib mematuhinya sehingga ia menjadi mandatori atau wajib.

2. Bilakah Standard MS2669: 2017 filem penghadang haba kenderaan akan diwajibkan?
Ia akan dijadikan peraturan mandatori mulai 1 Julai 2020.

3. Apakah peranan KPDNHEP di dalam filem penghadang haba kenderaan ini?
Pihak KPDNHEP akan memastikan pasaran mematuhi peraturan ini melalui satu peraturan baharu yang akan digubal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Proses ini akan siap sebelum tarikh 1 Julai 2020.

4. Apakah prosedur yang ditetapkan oleh garis panduan tersebut?
Setiap produk filem penghadang haba kenderaan yang hendak dijual di dalam pasaran tempatan perlu melalui ujian dan lulus berdasarkan standard Standard MS2669: 2017.
Produk yang lulus akan diberikan pensijilan.
Label pengesahan lulus oleh SIRIM-KPDNHEP beserta kod QR akan dikeluarkan selepas pihak syarikat mendaftar di bawah Bahagian Standard Kepenggunaan di KPDNHEP.
Sijil, label dan Kod QR boleh digunakan di premis-premis perniagaan secara sukarela.

5. Siapa yang melakukan ujian dan membuat pengesahan?
Ia akan dilakukan oleh Sirim QAS.

6. Adakah semua jenis filem penghadang haba kenderaan boleh dijual selepas ini?
Bila Standard itu menjadi wajib pada 1 Julai 2020 kelak, hanya produk yang mempunyai label pengesahan Sirim-KPDNHEP sahaja yang boleh dijual di dalam pasaran Malaysia.

7. Apa jadi sekiranya penjual menggunakan label dan kod QR palsu?
Mana-mana pihak yang menggunakan label dan kod palsu untuk produk atau perniagaan mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Jika sabit kesalahan: 

  • Boleh didenda sehingga RM100,000 (bagi orang persendirian) 
  • Boleh didenda RM250,000 (bagi syarikat)
  • Penjara tidak lebih dari tiga tahun

8. Adakah ini akan menaikan kos produk?
Sepatutnya pihak syarikat tidak boleh menaikkan harga kerana ujian hanya dilakukan sekali sahaja.
Menurut sumber Careta, kos untuk label dan kod QR itu pula dijual pada harga kos, iaitu lebih kurang RM0.20.

9. Kenapa akan ada yang membangkang pelaksanaan ini?
Seperti semua undang-undang, ia dibuat untuk kebaikan semua dan dalam kes KPDNHEP, ia khusus untuk melindungi pengguna dari tertipu oleh produk palsu.
Akan ada yang membangkang kerana kemungkinan besar, mereka tidak faham konsep standard atau mereka tidak mahu pengguna diberitahu akan perkara sebenar.

10. Siapa yang menguji peralatan dan juga cara ujian-ujian dilakukan?
Seperti kebanyakan alatan pengukuran di dalam negara, Institut Metrologi Malaysia (NMIM) akan terbabit dalam menguji segala peralatan pengukuran yang digunakan oleh Sirim QAS. NMIM juga adalah agensi kerajaan yang menguji ketepatan radas-radas dan alat-alat seperti alat mengukur jumlah kemasukan cahaya, alat mengesan kelajuan kenderaan dan banyak lagi, termasuk waktu tempatan yang paling tepat.

11. Apakah ujian-ujian yang akan dilakukan oleh Sirim QAS?
Ujian-ujian yang dilakukan ialah:

Ujian-ujian prestasi solar seperti:

  • Ujian peratusan ketelusan cahaya (VLT) seperti yang diluluskan oleh JPJ, terkandung dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (PU (A) 39/1991)
  • Ujian Ultraviolet Transmittance (UVT) untuk memastikan sinar UV yang masuk tidak memberikan kesan-kesan seperti nyahwarna kepada filem dan bahagian komponen dalam kabin kenderaan, kerapuhan komponen dan filem dan paling penting, tidak akan mengakibatkan kerosakan kulit kepada pengguna di dalam kenderaan.
  • Ujian nilai TSET atau Total Solar Energy Transmittance dan Faktor Solsar (SF) agar pengguna tahu yang mana lebih baik (nilai TSET yang tinggi bermakna lebih tinggi kadar pemindahan haba masuk ke dalam kenderaan).

Ujian prestasi produk mengikut cuaca Malaysia

  • Ini penting agar prestasi produk tidak susut melebihi 4 peratus dan mampu mengekalkan prestasi dan kualiti untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Ujian kualiti bahan pelekat

  • Bahan pelekat atau gam yang digunakan pada filem penghadang haba kenderaan akan diuji melalui "thermal test" atau "boil test". Menurut sumber Careta pula, "boil test" tidak sesuai untuk dilakukan di Malaysia dan mungkin akan ada perubahan di sini kelak.

12. Adakah ini juga bermakna KPDNHEP akan menyelia sekiranya ada isu "recall" atau penarikan balik produk?
Sekiranya produk tidak mendapat kelulusan pensijilan, syarikat penjual diminta menarik balik produk mereka dari pasaran secara sukarela.
Sekiranya berlaku insiden di mana produk itu dipanggil semula atau "recall" di luar negara, syarikat tempatan perlu melaporkannya kepada KPDNHEP agar pihak kementerian boleh menyelia dan memantau keadaan.

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Operasi pada jam 2.45 petang yang diketuai Komander Kawasan Aksem Bukit Bunga, Sarjan Adanan…
Berita Domestik
  Kenderaan yang digunakan untuk kerja penyeludupan itu ditahan di sebuah stesen minyak di Batang…
Informasi
  Mengikut pengumuman terbaharu itu, harga RON97 turun 4 sen kepada RM2.49 seliter manakala harga…