Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 km itu telah dibuka sepenuhnya bermula jam 3 petang tadi.
Pengoperasian penuh laluan itu bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral yang akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail)
MRT Laluan Putrajaya itu menghubungkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan kawasan sekitar Lembah Kelang, dan dijangka untuk mencatat 100,000 penumpang harian dalam tahun pertama operasinya.

Serentak dengan pelancaran laluan itu, perkhidmatan bas perantara turut dilancarkan, dimana ia melibatkan 92 buah bas dan mempunyai sebanyak 31 laluan yang meliputi kira-kira 350km.
Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan tambang percuma untuk semua perkhidmatan di laluan itu bermula 3 petang hari ini sehingga 12 tengah malam, 31 Mac 2023.
MRT Laluan Putrajaya mempunyai sebanyak 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Daripada jumlah itu, 10 stesen adalah stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan-laluan rel sedia ada.
Sebanyak 17 stesen dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta yang menyediakan sejumlah 5,878 petak parkir.
Perkhidmatan laluan baharu itu melibatkan penggunaan 49 buah tren 4-gerabak berkapasiti 1,200 orang dengan kekerapan 5 minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak.