Motosikal jadi sasaran undang-undang - isu basi

oleh HEZERI SAMSURI|
Penunggang motosikal bakal melihat undang-undang lalulintas diperketatkan ke atas mereka.

Antara yang di dalam perbincangan ialah motosikal dengan kapasiti enjin 250 cc ke bawah tidak dibenar menggunakan lorong kanan, motosikal kecil diganti dengan motosikal elektrik, halaju dibataskan kepada 60 kmsj dan pelbagai lagi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Reaksi yang diterima pada pendapat saya sudah boleh dijangka.

     1. Pengguna motosikal membuat komen negatif dan menentang segala cadangan, walaupun sebenarnya ada yang setakat membaca tajuk laporan sahaja.

     2. Pemberi cadangan pula berkata mat rempit sudah mula membuat bising dan kerana mereka rasa mereka bukan rempit, maka mereka adalah manusia istimewa dan layak didengari.

Keselamatan jalanraya bukan isu yang baharu. Ia adalah isu lapuk dan seperti isu-isu yang lain, ia kerap disapu ke bawah permaidani - tidak nampak, maka tiada masalah.

Sekarang ini, masalah yang disapu ke bawah itu sudah menimbun sehingga menjadikan permaidani anda itu berbonggol seperti terkena bisul. 

Cuba anda lihat sendiri statistik kematian di jalanraya Asia yang paling baharu (Disember 2018) yang dikeluarkan oleh WHO (World Health Organisation), sebuah agensi di bawah UN.

  1. Thailand: 32.7 kematian di jalanraya untuk setiap 100,000 penduduk
  2. Vietnam: 26.4 kematian di jalanraya untuk setiap 100,000 penduduk
  3. Malaysia: 23.6 kematian di jalanraya untuk setiap 100,000 penduduk

Malaysia terletak di tangga ketiga, lebih tinggi dari Indonesia dan Filipina. Singapura, seperti biasa, mempunyai kadar terendah pada 2.8 kematian di jalanraya untuk setiap 100,000 penduduk.

Lebih dari dua pertiga kematian akibat kemalangan jalanraya di Malaysia pula ialah dari pengguna motosikal.

Maka kerana itu, jika ada usaha untuk menurunkan jumlah kematian tersebut, secara logik kempen perlu disasarkan kepada motosikal.

Segala cadangan-cadangan yang diberikan lebih bertumpu kepada pengguna motosikal dan di bawah ialah komen-komen saya.
 

 

Halaju motosikal dibataskan kepada 70 kmsj

  • Kajian ini mengatakan jumlah kematian dapat diturunkan sebanyak 80 peratus jika halaju motosikal dihadkan kepada 70 kmsj.
  • Saya kurang pasti ujian yang anda lakukan tetapi sekiranya anda menunggang pada 70 kmsj di beberapa laluan lebuhraya di dalam bandaraya Kuala Lumpur, kemungkinan untuk anda disondol dari belakang oleh kenderaan yang bergerak dengan kelajuan malar 100 kmsj adalah tinggi.

Pengguna motosikal degil

  • Memang mereka degil, dan kerana itu anda perlukan pengawasan dan pelasanaan undang-undang.
  • Jika bank dirompak dengan menggunakan sistem komputer berinternet, adakah anda akan menghukum anak dara saya di rumah yang melayan Ryan's Toy Review kerana beliau menggunakan internet? 
  • Jangan cuba menutup kelemahan dan kemalasan di pihak pelaksanaan sebagai punca peningkatan berlakunya jenayah lalulintas.

 

 

Pengguna motosikal tidak membaca

  • Ya, benar, Mereka memang tidak membaca, sama seperti anda yang sudah berhenti membeli akhbar.
  • Pengguna motosikal terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, dari lapisan B40, M40 dan T20. 
  • Yang mana membaca adalah mereka yang benar-benar menggunakan motosikal atas dasar praktikaliti, penjimatan bahan api dan pengurangan pencemaran udara ataupun sebagai hobi.
  • Yang mana merempit selalunya mempunyai platform media yang berlainan. 
  • Cara berhubung dengan mereka juga berbeza.
  • Ia umpama membuat kempen Beli Barangan Original di Petaling Street atau di kumpulan Whatsapp - orang akan buat tak tahu sahaja.

 

 

Motosikal sendiri memang merbahaya 

  • Memang, bayangkan anda duduk di atas bangku yang mampu memecut selaju 300 kmsj - itulah motosikal.
  • Helmet dan jaket keselamatan mempunyai peratusan efektif yang sangat minimum.  
  • Namun begitu, jangan pula memaksa pengguna untuk jangan menggunakan motosikal dan sebaliknya menggunakan pengangkutan awam.
  • Anda tahu ke berapa harga tambang bas sekolah sekarang? 

 

 

Kempen keselamatan jalanraya tidak berjaya?

  • Tertarik saya melihat kajian yang sedang dijalankan berkaitan topik ini.
  • Mungkin ada benarnya tetapi berapa peratuskah yang termakan dengan kempen-kempen tersebut?
  • Adakah kempen itu dibuat dengan cara yang betul dan adakah ia tersebar meluas atau cuma wujud di ruang lobi pejabat JKJR dan di sekolah sahaja?
  • Jika ia tidak berjaya, kenapa kempen keselamatan jalanraya masih dilakukan sehingga ini di negara-negara maju dan juga di negara-negara jiran seperti Indonesia?

 

 

Budak motor semakin kurang ajar.

  • What else is new? 
  • Selain digunakan sebagai cara pengangkutan, ia juga menjadi objek gaya hidup.
  • Budaya "custom" memang popular di Malaysia dan kerana itu mereka ini melakukan modifikasi.
  • Kes nombor plet motosikal sebesar kutu babi hanya mempunyai dua sebab:
    • Huruf kecil menggunakan kurang bahan mentah - penjimatan ini mampu mempercepatkan duit simpanan mereka untuk membuat umrah.
    • Mereka tidak takut langsung kepada polis kerana bayar saman dan mereka tetap boleh menunggang. Bayar saman 200 kali pun mereka tetap dibenarkan menunggang.

Yang pasti, jumlah kematian semakin meningkat dan budak motor semakin bangga melakukan superman untuk di "up" di Instagram mereka. 

Jadi, apa yang baharunya? 

Berita Berkenaan

Berita Global
Daripada maklum balas yang diterima @straits_times, AIG berkata keputusannya dibuat berdasarkan ‘…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai…
Berita Global
Menurut NTSB, maklumat awal menunjukkan Ford Mustang tersebut melanggar bahagian belakang sebuah…