Motosikal elektrik Super Soco TC Max - bakal muncul di Malaysia sebagai unit CKD

oleh HEZERI SAMSURI|
Super Soco, jenama motosikal elektrik terkemuka dari V Moto, China bakal dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat ini.

Projek Super Soco Malaysia ini ialah projek CKD, di mana ia akan dipasang oleh sebuah syarikat tempatan dari utara yang memang mempunyai jenama motosikal elektriknya sendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari sumber-sumber Careta, Super Moto TC Max akan dilancarkan dengan harga antara RM25,000 ke RM30,000, dan menggunakan beberapa komponen tempatan.

Bateri, iaitu nadi utama mana-mana kenderaan elektrik (EV) adalah komponen yang paling mahal untuk dibawa masuk dan Careta diberitahu syarikat tempatan ini bakal menghasilkan bateri untuk Super Soco yang di pasang di Malaysia.

"Sasaran sebenar ialah untuk membuktikan Malaysia mampu menghasilkan bateri EV dan kemudian membekalkan bateri Super Soco untuk pasaran Asean," ujar sumber Careta.

 

 

Dengan pengalaman syarikat tempatan itu dalam penghasilan bateri-bateri berteknologi tinggi serta pengeluaran skuter elektrik pertama buatan Malaysia, peluang ini adalah yang terbaik untuk Malaysia bertapak di dalam industri EV.

"Syarikat ini memang mempunyai kepakaran untuk menghasilkan motosikal elektrik sendiri dan bukannya menggunakan motosikal dari China dan ditampal dengan jenama tempatan. Kerana itu Super Soco memilih mereka untuk melakukan proses CKD bagi produk canggih ini," kata seorang lagi sumber Careta yang arif akan industri EV negara.

Penggunaan motosikal yang tinggi di Asean memberikan peluang yang cerah untuk memasarkan motosikal elektrik. Penggunaan bateri tempatan pula mampu menurunkan lagi kos pembuatan dan harga jualan kelak.

Super Soco TC Max mempunyai rekabentuk ala Ducati Scrambler dan menggunakan bateri lithium ion 3.24 kWh yang boleh dicabut dan dibawa masuk untuk dicaj menggunakan soket dinding biasa (5 jam dengan pengecaj 10A).

 

 

Menurut laman web Super Soco, TC Max menghasilkan daya kilas 180 Nm dan 5kW tenaga, mempunyai tiga mod tunggangan dan jarak perjalanan 110 km (pada kelajuan malar 45 kmsj dengan penunggang seberat 75 kg).

Halaju maksimum ialah 95 kmsj dan seperti biasa, bila ditunggang laju, jarak perjalanan dengan satu bateri akan turun.

Prestasi motosikal elektrik memang jauh berbeza dari sebuah kapchai, dan harga bahan api yang rendah juga akan menjadikan ia kurang praktikal.

Namun begitu, bila teknologi bateri semakin canggih dan kompak, kos bahan api meningkat serta undang-undang pencemaran udara semakin ketat, motosikal elektrik bakal menjadi satu revolusi baharu di Asean.

Untuk mereka yang mahu menggunakannya bagi perjalanan jarak dekat, motosikal elektrik mengujakan dan praktikal.

Lawati pautan di bawah untuk menonton video tunggang uji skuter elektrik buatan Malaysia, Eclimo.