Motosikal dan kereta terperangkap banjir kilat di Ayer Keroh

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Berita Harian
Seorang penunggang motosikal dan beberapa pemandu kereta berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh, petang Jumaat, susulan hujan lebat lebih sejam bermula kira-kira 3.30 petang.

Kejadian itu tular dalam video berdurasi 48 saat yang dirakam oleh orang ramai di lokasi kejadian.

"Ada budak motor sangkut, nak tolong macam mana. Pusing balik...pusing balik, tolak je." jerit seorang lelaki kepada penunggang motosikal terbabit yang kemudian berpatah balik dan meredah banjir.

Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, 10 kereta turut terperangkap di dalam banjir kilat di tempat sama.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang dan tujuh anggota bersama dua jentera termasuk Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi untuk memberi bantuan.

"Setibanya di lokasi pasukan kawalan operasi mendapati terdapat 10 kereta terperangkap di dalam banjir dan semuanya berjaya dialih dan diselamatkan," katanya dihubungi.

Beliau berkata, hujan lebat turut menyebabkan beberapa rumah penduduk di Jalan Sungai Putat dinaiki air dan pihaknya turut memindahkan lapan mangsa termasuk seorang pesakit kronik dan seorang wanita mengandung ke tempat selamat.

Kejadian pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta mewah dan motosikal turut dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Putat, menyebabkan penunggang cedera manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh dalam satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan tembok papan tanda Muzaffar Heights runtuh dan sudah diambil tindakan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang memasang tali keselamatan sementara untuk keselamatan pengguna jalan raya.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi tempoh itu pihaknya menerima…
Berita Domestik
Ketika sedang bertugas anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu…
Berita Domestik
Menurut notis Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)…