MotoGP Malaysia - KBS tunggu keputusan MOF sambung kontrak

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen kerajaan untuk menyambung kontrak penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berakhir tahun depan, namun keputusan muktamad bergantung kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports dan menyampaikan pendirian kerajaan untuk meneruskan penganjuran acara permotoran berprestij itu.

"Saya sudah berjumpa dengan Dorna dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak," katanya selepas menyempurnakan majlis naik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru, pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya MOF memerlukan data serta justifikasi kukuh bagi memastikan perbelanjaan untuk penganjuran MotoGP mendatangkan pulangan ekonomi yang signifikan kepada negara.

"Kementerian Kewangan selalunya mahu data untuk yakinkan mereka perbelanjaan ini tidak membazir dan mendatangkan pulangan ekonomi kepada Malaysia.

"Seperti kita tahu, penganjuran MotoGP selalunya mewujudkan peluang pekerjaan. Tahun lalu kira-kira 4,000 orang mendapat peluang pekerjaan menerusi MotoGP," katanya.

Penganjuran Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu mencatat kehadiran 190,977 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan jualan tiket dilaporkan melebihi 90 peratus.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut beliau, keputusan itu bukan sekadar melanjutkan penganjuran acara berprestij berkenaan,…
Berita Global
Bertempat di perlumbaan MotoGP Thailand 2026, jenama motosikal Amerika Syarikat itu memperkenalkan…
Berita Domestik
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata sebarang…