MotoGP Malaysia 2025 tarik lebih 190,177 pengunjung

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 berakhir pada Ahad mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 190,977 orang sepanjang perlumbaan hujung minggu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata jumlah itu tetap menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, meskipun penganjuran kali ini bertembung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN.

"Walaupun kita tidak mencapai sasaran 200,000 orang, Alhamdulillah sambutan tetap menggalakkan. Ramai yang hadir walaupun terdapat penutupan jalan susulan Sidang Kemuncak ASEAN.

"Apa yang kami lihat, tempat duduk di grandstand penuh dengan penonton yang datang memberi sokongan kepada semua pelumba dalam kejohanan ini," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, peningkatan itu sekali gus menyumbang kepada jumlah kutipan jualan tiket yang cukup memberangsangkan.

"Alhamdulillah, tahun ini jumlah jualan tiket meningkat berbanding tahun lepas namun masih ada ruang penambahbaikan terutama dari segi strategi jualan tiket untuk tahun depan.

"Promosi 'beli satu percuma satu' turut diperkenalkan sejak hari pertama, dan walaupun jumlah kutipan keseluruhan belum diterima, trend semasa menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Mengulas pertembungan dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Azhan Shafriman mengakui pada awalnya bimbang dengan penutupan dan lencongan trafik namun keadaan sebenar menunjukkan peningkatan pengunjung hasil kerjasama pihak berkuasa.

"Ramai penonton datang lebih awal bagi mengelak kesesakan jalan dan lencongan. Walaupun kesesakan masih berlaku, ia sememangnya sesuatu yang sukar dielakkan setiap tahun.

"Untuk tahun hadapan, kita akan merancang dengan lebih baik dari segi aliran trafik masuk ke litar. Diharapkan para pengunjung yang datang awal dapat menikmati perlumbaan tanpa tekanan akibat kesesakan," katanya.

Tambah beliau, fasiliti sedia ada di SIC termasuk kemudahan tandas juga akan ditambah baik bagi meningkatkan keselesaan pengunjung pada musim hadapan.

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
"SIC akan menyediakan perkhidmatan bas perantara untuk membawa penonton dari kawasan parkir ke…
Berita Domestik
"Walaupun kita tak capai 200,000 orang seperti yang disasarkan, kita masih berjaya catat 184,923…
Berita Domestik
Pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan dalam acara ini yang akan dijalankan pada pada 21 hingga 23…