Moto Guzzi V9 Roamer - Santai lah!

oleh Afandi Che Muhamad|
Sebut sahaja motosikal easy rider, penulis pasti ramai antara kita terbayangkan motosikal keluaran Harley-Davidson.

Persepsi tersebut harus diubah kerana Harley-Davidson bukan lah satu-satunya pengeluar motosikal dengan corak tunggangan sedemikian.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Antara pesaing terdekat Harley-Davidson ialah Moto Guzzi. Moto Guzzi? Apa itu?

Mendengarkan perkataan Guzzi sahaja, penulis pasti ramai antara kita dapat meneka ia merupakan salah satu jenama motosikal keluaran Itali.

Ditubuhkan sejak tahun 1921, Moto Guzzi pernah 'melahirkan' beberapa model motosikal untuk siri perlumbaan suatu ketika dulu.

Antara model motosikal lagenda yang dihasilkan bagi perlumbaan terdiri daripada model pertama keluarannya, Normale serta beberapa model lain seperti Moto Guzzi C4V (1924), Bicilindrica (1935), Dondolino (1946) dan Otto Cilindri Gara (1957).

Berikut disertakan gambar-gambar model perlumbaan Moto Guzzi:

Nah! Melihatkan model-model perlumbaan Moto Guzzi itu sahaja jelas membuktikan bahawa jenama berkenaan pernah mendaki tangga populariti dalam segmen motosikal.

Teruja dengan jenama tersebut, penulis baru-baru ini berkesempatan menguji motosikal terbaharu keluaran Moto Guzzi yang dinamakan sebagai V9 Roamer.

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua penulis menguji jentera Moto Guzzi selepas kali terakhir ialah model Griso 1,200cc kira-kira dua tahun lalu ketika bersama Kosmo!.

Satu hal yang masih kekal tidak berubah adalah penggunaan nadi enjin V-twin 90 darjah.

Itu perkara pertama yang disedari penulis sebaik mengambil unit tunggang uji V9 Roamer bersesaran 853cc daripada pengedar sah Moto Guzzi di Malaysia, Didi Resources Sdn. Bhd. (Moto Guzzi Malaysia) minggu lalu.

Motosikal tersebut baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran domestik penghujung Julai tahun lalu bersama-sama model 'kembar', V9 Bobber dan 'adik' lain seperti V7 III Stone serta V7 III Racer.

Perkara pertama yang menarik perhatian penulis, V9 Roamer digarap dengan mekap gaya ala cafe racer sama seperti model lain yang disebutkan.

Pemasangan tangki bekalan bahan bakar (petrol) motosikal yang sarat elemen minimalis turut membantu menyerlahkan karakter bawaan V9 Roamer itu.

Jika diteliti, tangki tersebut memiliki garis-garis tajam bersegi di bahagian sisi bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik jentera secara fizikal. Menarik!

Pandangan kemudian dialihkan ke bahagian bawah unit tangki minyak tersebut pula, apa yang penulis dapat lihat komponen perehat kaki sengaja diposisikan lebih ke hadapan supaya penunggang sentiasa berada dalam keadaan selesa ketika perjalanan.

Panel meter yang tersedia adalah daripada jenis dwi-paparan (gabungan analog dan digital).

Panel tersebut mempamerkan bacaan kadar kelajuan, kadar rpm, kedudukan gear semasa, odometer, meter perjalanan, penggunaan bahan api semasa, jam dan suhu enjin.

Di bahagian bar hendal pula, terdapat butang fungsi lampu isyarat membelok, running-off enjin dan lampu kecemasan.

Kagum dengan impresi pertama tersebut, penulis memilih menghidupkan enjin motosikal tersebut sebaik kunci diterima.

Burp Burp Burp Burp! Itu lah bunyi yang terhasil apabila enjin V9 Roamer dihidupkan. Enjin tersebut mengeluarkan nota bunyi yang agak kasar, cukup padu sehingga menenggelamkan suasana sekeliling.

Corak dihasilkan enjin tersebut jauh berbeza dengan motosikal keluaran pengeluar lain, frekuensi gegaran membuatkan motosikal berkenaan terumbang-ambing ke bahagian kiri dan kanan meski pun perjalanan belum dimulakan.

Tambah teruk lagi apabila setiap kali perahan pendikit dilakukan ke atasnya. Itu lah keunikan yang ada pada motosikal keluaran Moto Guzzi.

Digerakkan dengan pacuan syaf sambil dibantu padanan kotak gear enam kelajuan, kuasa maksima yang diterbitkan mencecah 55Hp pada 6,250 rpm dan puncak tork tertinggi pula sekitar 62Nm tork pada 3,000 rpm.

Kuasa tersebut cukup kuat sehingga memaksa badan penulis tersentak ke belakang. Penunggang perlu menggenggam erat bar hendal motosikal bagi mengelak perkara tersebut daripada berulang.

Oh ya! Penulis hampir terlupa.

Pujian harus diberikan kepada Moto Guzzi kerana memilih melakukan penggunaan pacuan syaf, aplikasi itu tidak memerlukan penyelenggaraan berbanding rantai.

Memecut laju V9 Roamer melalui beberapa lebuh raya seperti Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Sprint (Sprint), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), tamparan angin agak terasa susulan badan penulis agak genit.

Tugasan membrek ketika melalui selekoh atau memberhentikan motosikal pula tiada sebarang masalah dan selamat berikutan kewujudan pemasangan brek hadapan jenis Brembo empat piston dengan cakera terapung 320 milimeter (mm) sementara bahagian belakang pula disertakan bersama cakera 260 mm lengkap angkup dua piston.

Tambah selamat, motosikal tersebut turut dilengkapi sistem ABS dan Moto Guzzi Traction Control (MGCT). Masing-masing mempunyai tetapan dua peringkat.

Sepanjang perjalanan tersebut, penulis kurang gemar dengan operasi penukaran gear unit tunggang uji V9 Roamer ini.

Selain terdapat bunyi mekanikal yang agak kuat, proses itu agak rumit terutamanya ketika ingin mengubah gear satu atau dua ke neutral.

Penulis perlu mencungkil atau memijak batang gear dengan berhati-hati bagi membolehkan ia berada pada posisi neutral.

Bagi penukaran gear dari posisi rendah ke posisi keenam, segalanya mudah. Penunggang cuma perlu mencungkil batang gear dengan kuat sahaja.

Pendek kata, pengendalian motosikal V9 Roamer ini sedikit berlainan berbanding motosikal lain.

Paling ketara apabila penulis cuba menyelit di antara kenderaan yang beratur dalam kesesakan trafik, ia memaksa penulis lebih kerap bermain dengan gear dan klac.

Sementara itu, proses menyelit di antara kenderaan lain dianggap lancar kerana motosikal ini memiliki saiz sederhana (tidak terlalu besar atau kecil). Penulis dengan mudah melalui fasa tersebut dengan jayanya.

Tidak terhad di situ, penulis turut menyukai kehadiran batang fork jenis teleskopik terbalik (hadapan) sepanjang 40mm dan sistem suspensi berkembar di belakang kerana ia efisien dalam tugasnya.

Tunggangan penulis lebih selesa, ditambah dengan kehadiran pelana tempat duduk empuk.

Keselesaan tunggangan itu turut dibantu aplikasi rim bersaiz 19 inci dengan tayar 100/90 di hadapan manakala bahagian belakang pula menggunakan rim 16 inci bersama tayar 150/80.

Pergerakan ketika melalui permukaan tidak rata lancar dan hentakan tidak begitu dirasai.

Kesimpulan boleh penulis sampaikan sepanjang sesi tunggang uji kali ini adalah V9 Roamer menawarkan corak tunggangan santai, bersesuaian dengan kelompok penunggang yang inginkan ketenangan minda ketika menempuh perjalanan jauh atau ditunggang pelbagai lapisan usia.

Bagi mereka yang berhasrat mendapatkan model V9 Roamer, motosikal ini boleh didapati di ibu pejabat Moto Guzzi Malaysia dekat The Gasket Alley, Petaling Jaya, Selangor pada harga asas bermula RM73,900 (termasuk GST, tanpa insuran, cukai jalan dan nombor pendaftaran) seunit.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Moto Guzzi Malaysia di www.motoguzzi.com/my_EN/.

Spesifikasi

Moto Guzzi V9 Roamer 2017

Enjin:  Empat lejang 90 darjah V-Twin
Sesaran:  853cc
Gerek × Lejang:  84×77mm
Kuasa:  55Hp @ 6,250rpm
Puncak Tork:  62Nm @ 3,000rpm
Transmisi:  Enam kelajuan
Panjang/Lebar:  2,240/865mm
Tinggi Pelana:  785mm
Muatan Petrol:  15 liter
Berat:  199 kilogram

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli…
Berita Domestik
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki berusia dalam…
Berita Domestik
  Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata,…