Mogok bantah tindakan pengharaman Jeepney lama 1 Januari 2024

oleh HEZERI SAMSURI|
Pemandu-pemandu pengangkutan awam popular kepulauan Filipina, Jeepney melancarkan mogok di Manila dan beberapa bandar utama semalam untuk membantah keputusan proses "phase-out" kenderaan.

Namun begitu, Presiden negara itu, Ferdinand Marcos Jnr tetap berkeras dengan keputusan kerajaan untuk menarik balik lesen bagi kenderaan Jeepney yang berusia 15 tahun ke atas bermula pada 1 Januari 2024 nanti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut ciapan Marcos Jnr di laman media sosial X, 70 peratus operator Jeepney sudah bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk didaftarkan dalam Program Modernisasi Kenderaan Pengangkutan Awam (PUVMP).

PUVMP ialah satu program di mana pemilik-pemilik Jeepney akan duduk di bawah beberapa kooperasi bagi membeli kenderaan pengangkutan awam yang lebih modern.

Setiap koperasi dikehendaki untuk membeli sekurang-kurangnya 15 unit kenderaan modern itu yang akan menggunakan tenaga elektrik dengan bateri lithium-ion, ataupun enjin yang lulus piawaian Euro 4 untuk kadar pelepasan asap yang jauh lebih rendah dari enjin sekarang.

Harga setiap satu kenderaan itu ialah dalam lingkungan U2.8 juta peso atau RM232,000 dan lesen operasi secara persendirian tidak lagi dibenarkan. 

 

 

Permit pemilikan persendirian, nombor plet dan juga francais perlu diserahkan kepada koperasi-koperasi dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa.

Sebanyak hampir 42,000 Jeepney bakal kehilangan permit mereka pada hari Isnin nanti di bawah program PUVMP yang jelas menjadi salah satu agenda pengurangan pencemaran udara Filipina.

Menurut laporan South China Morning Post, ada pemilik Jeepney yang membantah kerana mereka terpaksa membeli aset yang menjadi milik koperasi.

"Jika saya dibuang dari koperasi, aset yang saya beli itu akan menjadi milik mereka, bukan saya," ujar Mar Valbuena, ketua Manibela, persatuan pengangkutan yang mewakili 100,000 buah kenderaan awam.

Beliau juga berkata pihak koperasi tidak begitu berminat dengan pemandu-pemandu yang berumur kerana waktu kerja yang sangat lama - dari jam 3 atau 4 pagi sehingga jam 1 pagi keesokan harinya.

Kerajaan Filipina akan memberikan bantuan kewangan sebanyak 360,000 peso (RM30,000), cuma 13 peratus dari harga kenderaan modern yang perlu dibeli.

Valbuena kemudian berkata pihaknya tidak membantah proses medernisasi kenderaan pengangkutan awam itu tetapi beliau berkata ada kenderaan alternatif yang lebih mampu milik.

 

 

Manibela dikatakan telah mencadangkan 10 prototaip kenderaan pengangkutan awam dengan enjin Euro 4 yang setiap satu berharga di bawah RM60,000 tetapi menuduh Presiden negara itu langsung tidak memberi sebarang jawapan.

Jeepney memang sinonim dengan Filipina sejak 70 tahun lalu. Ia ialah sebuah bas yang dihias dan menjadi ikon negara tersebut.

Namun begitu, ia juga terkenal kerana menggunakan enjin-enjin diesel lama yang menjadi antara penyumbang pencemaran udara yang tinggi.

Malaysia sudah lama menggantikan ikon pengangkutan awam di Kuala Lumpur, bas mini, dengan bas-bas elektrik dan sistem keretapi elektrik.

Untuk laporan lebih lengkap tentang isu Jeepney ini, sila lawati artikel SCMP