MOF - Penyasaran subsidi diesel jimat RM5 bilion setahun

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kerajaan berjaya menjimatkan sekitar RM5 bilion setahun melalui pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di bawah Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sejak 10 Jun 2024, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF berkata penjimatan itu membantu mengurangkan tekanan fiskal negara dan membolehkan dana disalurkan semula kepada tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.

"Antara langkah proaktif kerajaan ialah menambah baik bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan ditingkatkan kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion tahun sebelumnya, dan seterusnya kepada RM15 bilion menerusi inisiatif Penghargaan SARA.

"Hasil penjimatan turut digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang dapat meningkatkan kapasiti produktif negara," kata MoF dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Setakat ini, lebih 140,000 penerima BUDI Individu dan 180,000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan, dengan jumlah bayaran masing-masing sebanyak RM430 juta dan RM350 juta.

Bagi segmen pengangkutan darat barangan di bawah Program BUDI MySubsidi Diesel, sehingga 30 September 2025, sebanyak 121,618 syarikat membabitkan 355,074 kenderaan telah diluluskan untuk menggunakan kemudahan "fleet card". Langkah itu membolehkan mereka mendapatkan bekalan diesel pada harga RM2.15 seliter, sekali gus mengekang peningkatan mendadak kos operasi logistik dan memastikan harga barangan keperluan kekal stabil.

MoF menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan Abdul Khalib Abdullah (PN–Rompin) mengenai keberkesanan penyasaran subsidi petrol dan diesel dalam mengurangkan ketirisan serta beban fiskal negara.

Dalam pada itu, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula pada September lalu, lebih 12.4 juta warganegara daripada 16.5 juta yang layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan nilai jualan melebihi RM1.85 bilion atau penggunaan lebih 930 juta liter setakat 21 Oktober 2025.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95, Pangkalan Data Utama (PADU) dijadikan rujukan utama bagi tujuan pengesahan oleh MoF.

"Berdasarkan data tersedia, kerajaan dapat mengenal pasti program intervensi sosioekonomi untuk kumpulan sasar tertentu. Dalam hal ini, PADU boleh dimanfaatkan sebagai pangkalan data rujukan agensi kerajaan berkaitan," jelas kementerian itu.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Polis menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendapati kuota subsidi BUDI MADANI Diesel…
Berita Domestik
"Kerajaan turut memperoleh hasil daripada petroleum, setiap kenaikan harga minyak sebanyak AS$1…
Berita Domestik
Beliau berkata, langkah berkenaan bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan bekalan tenaga negara…