Menurut kementerian itu penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Justeru, MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.
MoF juga telah mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.
"Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” menurut MoF.
Selain itu syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat.
"Ia termasuk memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.
"Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan,” maklum MoF.
Menurut kementerian itu, syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.
"MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” menurut kenyataan itu.