MODENAS rancang pasang ZX-25R di Gurun, pelancaran 2023, harga kompetitif

oleh Mohamad Hanif|
Siang tadi, pihak Kawasaki Malaysia memperlihatkan buat kali pertama model supersport Ninja ZX-25R ABS SE bersempena dengan penganjuran MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang.

Seperti yang pernah kami laporkan beberapa kali sebelum ini, jentera supersport bersesaran 250 cc itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun depan.
 

ZX25R


Lebih menarik lagi, CEO MODENAS, Encik Roslan Roskan memberikan bayangan bahawa model ini dijangka akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Gurun.

Jelasnya lagi, sekiranya perancangan CKD diteruskan, model empat dapur ini dijangka akan membawakan nama rasmi MODENAS ZX-25R ABS SE, selari dengan format penamaan yang dilaksanakan untuk model-model Kawasaki bawah 650 cc.

Selain daripada ZX-25R ABS SE, MODENAS dijangka akan membawakan varian-varian seperti versi asas serta versi premium ZX-25RR.
 

ZX25R


Yang pasti, Roslan memberikan bayangan harga jualan yang lebih kompetitif untuk model yang ditunggu-tunggu ramai ini.

Di pasaran Indonesia, Kawasaki ZX-25R dikuasakan oleh enjin 250 cc empat silinder sebaris yang mampu menjana kuasa setinggi 51 PS @ 15,500 rpm, 22.9 Nm @ 14,500 rpm.


 

ZX25R


Secara standard, ZX-25R didatangkan dengan skrin paparan TFT beserta Circuit Mode, sambungan kepada peranti pintar, Kawalan Cengkaman (KTRC) dan pemilihan mod kuasa.

Sistem gantungan terdiri daripada fork hadapan SFF-BP 37 mm diikuti suspensi belakang Horizontal Back-link, sementara sistem brek pula menggunakan cakera separa terapung 310 mm dengan angkup empat omboh di depan, dan cakera 220 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.
 

ZX25R


Versi ABS SE pula menerima sistem brek anti-kunci (ABS), Kawasaki Quick Shifter (KQS) serta grafik edisi terhad.

Manakala eksklusif untuk model ZX-25RR pula adalah komponen suspensi baharu SFF-BP 37 mm dengan larasan pra-muatan, diikuti dengan suspensi belakang Horizontal Back-Link dengan penyerap hentak BFRC lite.

Sebagai perbandingan, harga jualan ZX-25R versi asas di Indonesia bermula dari Rp 105,000,000 (RM31,833), sementara varian ZX-25RR pula bermula dari Rp 129.900,000 (RM39,381).

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
SIC memandang serius terhadap perkara itu dan komited untuk menegakkan standard kelakuan,…
Sukan Bermotor
Jelasnya, hasrat untuk menganjurkan semula sukan tersebut masih lagi dalam penelitian, apatah lagi…
Informasi
SIC yang sedang melaksanakan kerja-kerja penurapan semula trek, bagaimanapun, mengesahkan tiada…