Pengenalan logo baharu itu selaras dengan tumpuan Modenas terhadap pengembangan global, teknologi baharu, dan penyelesaian yang lebih bersih.
Logo baharu syarikat motosikal nasional itu terus dinspirasikan oleh simbol ikonik "M" Modenas dengan gaya moden dalam bulatan yang menggambarkan ketepatan dan identiti baharu.
Ia sekaligus menggantikan logo lama yang telah digunakan semenjak pelancaran model pertamanya pada tahun 1996, yang menampilkan logo "M" dengan imej Gunung Jerai.
Kekal dengan warna biru dan putih, logo yang dikemas kini memperkenalkan varian kelabu dan platinum Modenas.
Selain itu, pengenalan Elemen “Road Star” yang baharu juga mencerminkan arah baharu jenama Modenas, menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.
Sempena pelancaran logo baharu itu juga, Modenas turut memperkenalkan varian baharu model ikoniknya, Kriss 110 yang telah dikemas kini dengan logo baharu dan tayar tanpa tiub.
Kriss 110 baharu itu turut menjadi model Kriss pertama yang memenuhi piawaian pelepasan Euro 4, menjadikannya antara motosikal yang lebih mesra di pasaran.
Majlis pelancaran hari ini dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Kumpulan MODENAS dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad.
Turut hadir hari ini ialah Faizal Mohd Yusof, Pengarah Kanan Industri dan Pembangunan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), serta Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.