MODENAS ELIT 150S kembali - dari RM7,877

oleh Firdaus Razani|
Sempena sambutan ulang tahun ke-30, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melakar sejarah dengan memperkenalkan skuter premium terbaharu mereka, ELIT 150S.

Model ini bukan sekadar tampil dengan gaya moden dan teknologi canggih, malah turut menetapkan penanda aras baharu dalam segmen skuter 150cc di pasaran tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, pelancaran ELIT 150S membawa makna besar kerana ia menghubungkan legasi tiga dekad syarikat dengan arah tuju masa depan.

“Modenas ELIT 150S adalah simbol inovasi dan praktikaliti harian. Ia direka untuk rakyat Malaysia yang bukan sahaja mencari mobiliti, tetapi juga gaya, keselesaan dan kebanggaan memiliki,” jelas beliau ketika majlis pelancaran.

Dari segi rekaan, ELIT 150S tampil dengan gaya bold dan kemasan premium, diserlahkan melalui lampu hadapan LED berkembar bersama Daytime Running Light (DRL) yang memberi wajah lebih agresif di jalan raya.

 

elit

 

Sistem Smart Key pula menawarkan kemudahan tanpa kunci, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 23 liter menambah aspek praktikaliti untuk kegunaan seharian.

Selain itu, panel meter LCD digital memastikan paparan lebih jelas, sementara ciri keselamatan dipertingkat dengan brek cakera di bahagian depan dan belakang, suspensi belakang berkembar serta sistem lampu hazard.

 

elit

 

Menjadi nadi kepada ELIT 150S ialah enjin 149cc, silinder tunggal, penyejukan cecair dengan teknologi SOHC 4 injap yang mematuhi piawaian Euro 4.

Unit ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 14.1 hp pada 8,250 rpm, dengan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm.

Tangki bahan api berkapasiti 12 liter pula membolehkan jarak tunggangan sehingga 480 kilometer untuk sekali isi penuh, menjadikannya cukup efisien untuk perjalanan dalam bandar mahupun jarak sederhana.

Dengan berat 137 kilogram serta ketinggian tempat duduk hanya 770 mm, ELIT 150S menawarkan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.

Ia turut dibina dengan ukuran seimbang, panjang keseluruhan 1,970 mm, lebar 740 mm, tinggi 1,160 mm dengan jarak roda 1,390 mm dan kelegaan tanah 160 mm.

 

elit

 

Sistem suspensinya menggunakan fork teleskopik di bahagian depan dan dwi-penyerap hentak di belakang, dipadankan dengan tayar bersaiz 110/70-13 di depan dan 130/70-13 di belakang, untuk kestabilan dan kawalan lebih yakin.

Modenas ELIT 150S ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey.

Semua ciri gaya dan teknologi ini dipadankan dengan tanda harga yang cukup kompetitif, iaitu bermula dari RM7,877 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

 

elit

 

Bukan sekadar pengangkutan, ELIT 150S diletakkan sebagai sebuah penegasan gaya hidup yang menggabungkan prestasi, gaya dan praktikaliti.

Pelancaran ini juga menjadi sebahagian daripada strategi Modenas untuk memperkukuh barisan skuter premium serta memperluaskan kehadiran mereka di pasaran serantau seperti Timur Tengah, China dan Filipina.

Dengan harga mampu milik dan pakej ciri yang lengkap, jelas bahawa Modenas ELIT 150S dicipta untuk penunggang bandar moden yang mahukan lebih daripada sekadar sebuah skuter harian.