Kelibat model ujian SUV Ferrari tersebut telah pun dikesan semenjak penghujung tahun lalu, dan ia muncul kembali dengan menawarkan sudut pandangan yang lebih jelas.
Menurut beberapa laporan media antarabangsa, unit ujian tersebut dikesan sedang diuji di fasiliti pengujian rahsia dengan memakai panel luaran daripada Maserati Levante bagi mengelirukan pandangan awam.
Namun, antara perubahan yang besar dikesan adalah dimensi bonet yang lebih panjang, arca roda yang lebih lebar, gril utama yang lebih besar serta slot kemasukan udara yang lebih besar pada bampar hadapan.
Dari sudut pandang sisi, boleh dilihat dengan jelas jarak kelegaan tanah SUV Ferrari ini yang agak rendah, dan memberikan gambaran sebagai sebuah hatchback, bukan SUV.
Namun, difahamkan versi produksi bakal membawakan penampilan yang berbeza dan membawakan elemen rekaan tipikal Ferrari, serta jarak kelegaan tanah yang ditinggikan sesuai dengan sifat sebagai sebuah SUV.
Ferrari Purosangue dipercayai akan menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh model GTC4Lusso dengan membawakan nadi 3.9 liter bentangan V8 turbo berkembar dan angka output yang diperingkatkan berbanding kuasa asal (601 hp).
Selain daripada itu, terdapat ura-ura Ferrari akan mendatangkan varian hibrid dengan nadi bentangan V6 dan bantuan motor elektrik.