Bagi mereka yang berharap kemunculan penuh Ralliart, usah risau.
Ini kerana satu laporan daripada Jepun mendakwa jenama berprestasi tinggi itu akan muncul dengan sebuah model pantas menjelang tahun 2024.
BestCarWeb melaporkan Ralliart akan memperkenalkan versi berprestasi tinggi Outlander PHEV yang laris terjual di sesetengah pasaran.
Outlander PHEV Ralliart bukan sahaja akan menampilkan talaan suspensi serta sistem aero yang relevan, ia juga akan membawakan nadi plug-in hybrid yang lebih berkuasa.
Dengan menggunakan asas daripada trenkuasa 2.4L sedia ada, Mitsubishi Ralliart akan menala kembali output motor elektrik di mana ia mampu menyumbang kepada kuasa sehingga 290 PS secara keseluruhan.
Awal tahun 2022, Mitsubishi memperlihatkan sebuah model konsep Mitsubishi Vision Ralliart Concept dengan padanan kit badan yang serba agresif.
Pada ketika itu, Mitsubishi mendakwa Outlander PHEV Ralliart mempunyai output motor elektrik yang lebih berkuasa, sistem kawalan pacuan empat roda S-AWC yang dipertingkat, serta kapasiti bateri yang lebih besar.
Mungkin ia bukanlah satu petanda kemunculan semula plet nama Evolution yang sangat sinonim dengan Mitsubishi, akan tetapi dengan kehadiran Outlander PHEV Ralliart ini sekurang-kurangnya dapat merawat kerinduan peminat terhadap jenama tiga berlian ini.
Sumber: BestCarWeb