Model pengganti Audi R8 kini berkuasa elektrik - memperkenalkan konsep PB18 e-tron 746 bhp!

oleh Mohamad Hanif|
Seiring dengan arah tuju pengeluar automotif yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik, Audi tidak mahu turut ketinggalan dengan memperkenalkan sebuah model konsep yang dikatakan sebagai pengganti kepada supercar R8.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dinamakan sebagai PB18 e-tron, model konsep supercar dengan dua pintu rekaan shooting brake ini diperlihatkan oleh Audi menerusi sebuah acara yang bertempat di Pebble Beach Concours d'Elegance. 
 


Tiada lagi deruman enjin V10, sebaliknya ia bakal dijana oleh 746 bhp daripada kuasa elektrik sepenuhnya dengan menampilkan bukan satu, tapi tiga buah motor elektrik, satu diletakkan pada gandar hadapan dan dua buah lagi diletakkan sebaris pada bahagian gandar belakang. 

Ini membolehkan supercar yang seberat 1550 kg dengan dimensi 4.53 meter panjang x 2.0 meter lebar x 1.15 meter tinggi ini mampu memecut sepantas 2 saat daripada pegun sebelum mencecah 100 km/j dengan kelajuan maksimum yang diperoleh 300 km/j.
 


Sistem elektrik pada supercar konsep ini dibantu oleh pek bateri 95 kWh yang disejukkan menggunakan sistem penyejuk cecair dan sistem pengecasan 800 voltan yang mampu mengecaj kuasa penuh hanya sekitar 15 minit sahaja. 

Manakala sistem pengecasan tanpa wayar pula diberitakan bakal ditawarkan oleh pihak Audi sekiranya projek PB18 e-tron ini terlaksana dengan jayanya. 

Berdasarkan ujian WLTP yang semakin ketat, PB18 ini mampu mencapai jarak pengoperasian sejauh 500 km dan jarak tersebut mampu bertambah sekiranya pemandu tahu menggunakan brek dengan berkesan, terima kasih kepada sistem motor elektrik yang boleh bertindak sebagai generator yang menghantar kembali tenaga yang diperlukan kepada pek bateri. 
 


Menyentuh perihal sistem brek, PB18 ini menggunakan brek cakera bersaiz 19 inci yang diperbuat daripada gentian karbon pada keempat-empat penjuru tayar manakala sistem gantungan pula meminjam sistem suspensi yang digunakan pada kereta lumba Le-Mans R18 LMP1. 
 


Bahagian kokpit pemandu pula menampilkan ciri unik yang boleh diubah di mana pemandu boleh memilih tetapan tempat duduk di tengah kenderaan ataupun mengikut kesesuaian yang diinginkan, bermakna dalam satu-satu masa, hanya seorang sahaja dibenarkan untuk berada di dalam supercar ini. 

Penumpang hanya boleh dibenarkan berada di sebelah pemandu sekiranya pemandu memilih tetapan yang berbeza.
 


Turut membantu pemandu ialah kehadiran head-up display yang mampu memaparkan garisan perlumbaan (racing line) yang ideal mengikut litar yang telah ditetapkan sekiranya pemandu masih tidak dapat menyesuaikan diri (rasa seperti bermain game pula).

Tetapan tersebut akan berubah sekiranya pemandu sudah keluar daripada kawasan litar di mana paparan tersebut akan memprojeksikan maklumat kritikal kenderaan serta bantuan navigasi berkomputer. 
 


Audi PB18 e-tron ini mungkin sebuah lagi model konsep yang menarik daripada Audi memandangkan ia lari daripada kelaziman rekaan para pengeluar, namun begitu mereka tidak menetapkan bila dan berapa unit yang harus mereka produksikan untuk pengganti R8 ini. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kumpulan terakhir R8 telah dilancarkan dari barisan pemasangan di kilang Audi Böllinger Höfe di…
Berita Global
Selepas melancarkan model V10 GT RWD pada tahun lepas, tiba giliran Audi Jepun untuk melancarkan R8…
Berita Global
Audi R8 GT Coupe 2010   Sebelum baca lebih jauh, bayangkan kereta ini pacuan roda belakang,…