Berdasarkan imej paten yang ditemukan oleh CarBuzz, BMW dilapor mendaftarkan paten yang mengintegrasikan lampu utama kereta dan jeriji buah pinggang ke dalam satu panel ‘topeng’ tunggal.
Bermakna, muka hadapan kereta masa depan BMW tidak lagi menampilkan struktur jeriji dan unit lampu yang berasingan seperti yang diamalkan pada model-model sedia ada.

Berdasarkan imej paten terbaharu itu, panel hadapan elektronik itu mampu memancarkan LED sebagai lampu nyalaan siang atau sebagai jeriji yang bercahaya, selain menjadi lapisan pelindung kepada unit lampu utama sebenar yang berselindung di belakang panel tersebut.
Difahamkan, panel luaran itu boleh berubah daripada paparan legap kepada lutsinar berdasarkan dua tetapan ‘ON’ yang berbeza.
Pada tetapan pertama, sepasang lampu DRL akan muncul pada bahagian sisi panel, sementara tetapan ON yang kedua pula menunjukkan struktur jeriji digital yang menjadi identiti rekaan BMW.
Struktur panel itu juga akan digunakan sebagai perumah kepada gugusan penderia dan kamera yang diperlukan oleh sistem bantuan pemandu termaju yang ada pada kereta moden masa kini.

Berkemungkinan besar perubahan ini akan dipraktikkan pada model kenderaan generasi baharu berkuasa elektrik yang tidak lagi memerlukan liang udara untuk tujuan penyejukan seperti kenderaan berenjin pembakaran dalaman.
Paten ini dilihat mengekalkan identiti jenama BMW yang tidak boleh lari dari rekaan jeriji buah pinggang, dan dalam masa yang sama menjadikan rekaan hadapan yang lebih ringkas tanpa sebarang bukaan untuk manfaat aerodinamik.
Seperti model-model i7, iX dan i4, kemasan ‘jeriji’ buah pinggang itu hanyalah bersifat kosmetik semata-mata bertujuan untuk mengekalkan identiti jenama itu.
Satu persoalan timbul. Berapa pula kos yang perlu dibayar oleh pemilik sekiranya panel hadapan ini calar atau pecah?
Sumber: CarBuzz