Mizuki - Mini dengan enjin Suzuki Hayabusa!

oleh Mohamad Hanif|
Jika sebelum ini Art of Speed tampil dengan dua buah konsep modifikasi motosikal, kali ini acara tahunan tersebut tampil dengan pendekatan yang berlainan, sebuah Mini yang direstorasi untuk kegunaan drag.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Nadi enjin juga bukan calang-calang, kerana master mind projek ini, Mohamad Irwann Mohd Azlan (nama mesra Irwann Cheng) dari FNG Works, Ipoh memutuskan untuk meletakkan sebuah enjin empat silinder dari Suzuki Hayabusa!

 


Irwan yang sebelum ini menuntut di UiTM Shah Alam di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal membuat keputusan untuk berhenti kerja dan mahu menumpukan sepenuh perhatian di bengkel FNG Works. 

FNG Works dan Art of Speed sebenarnya bukanlah satu gandingan yang asing didengari, kerana dua tahun sebelum ini kedua-dua entiti tersebut berganding bahu menghasilkan dua buah motosikal untuk diberikan sebagai hadiah cabutan bertuah - RXZ Twin Boss (AOS 2017) dan Honda C600 Papa Jahat (AOS 2018). 
 


Mizuki (Mini + Suzuki Hayabusa) pada asalnya bukanlah di dalam perancangan, namun ketika proses mendapatkan nadi Hayabusa, casis Mini didatangkan sebagai 'hadiah percuma' oleh tuan empunya enjin. 

Kondisi badan juga tidaklah begitu baik, jadi proses-proses yang sepatutnya dijalankan terlebih dahulu seperti membuang karat dan menggantikan lantai baharu sebelum enjin Hayabusa dimuatkan.
 


Sebelum anda teruja, ingin kami ingatkan sesuatu - enjin Hayabusa 1,300 cc ini bukanlah diposisikan di bahagian hadapan, akan tetapi ia diletakkan di ruang penumpang belakang!

Proses ini juga bukan mudah, dan sub-rangka belakang asal Mini ini digantikan dan diperkuat dengan struktur tubular space frame yang dibina sendiri. 

Namun, pihak FNG Works tidak menjalankan apa-apa modifikasi terhadap enjin ini yang dijangka mampu menjana kuasa sekitar 200 hp. 
 


Kuasa daripada enjin tersebut kemudian disalurkan kepada pacuan roda belakang menerusi pacuan rantai (sama seperti sebuah motosikal) dengan penggunaan gandar Perodua Rusa yang telah dimodifikasi. 

Bagi memuatkan roda besi 13 inci yang dibaluti tayar drag, gandar asal Perodua Rusa ini telah dipendekkan di bahagian kiri dan kanan, manakala sistem brek pula menggunakan unit modifikasi daripada Honda EG9.

Menurut Irwann lagi, unit asal differential sudah pun dikunci bagi membolehkan kuasa diagihkan pada kadar sama rata 50:50 pada kiri dan kanan, sesuai untuk kegunaan drag race. 
 


Membantu pengendalian Mizuki ketika pecutan di dalam litar lurus itu adalah suspensi jenis ladder bar dengan penyerap hentak D2 Motorsport boleh laras. 

Di bahagian hadapan, sub-rangka asal dan suspensi hadapan masih lagi kekal dengan spesifikasi asal Mini tahun 1976, manakala rim pula menggunakan roda besi bersaiz 12 inci. 

Sesuai dengan tema drag race klasik era 70-an, bahagian dalaman Mini ini telah ditogelkan sepenuhnya (kecuali stereng), manakala tempat duduk pula dibuat secara kustom oleh Saidi Racing Fabrications, dan pedal box kustom oleh Irwann sendiri. 

Manakala tangki bahan api daripada Mooneyes pula akan diposisikan di bahagian hadapan Mizuki ini. 
 


Tidak seperti dua buah hadiah sebelum ini yang siap dimodifikasi dan boleh dilihat pada hari acara Art of Speed, Mizuki pula akan muncul dalam kondisi yang lebih kurang sama dengan apa yang anda lihat di dalam artikel ini. 

Namun, menurut Asep selaku pengasas AOS, pemilik baharu (baca: pengunjung bertuah) akan berpeluang untuk memilih warna pilihan sendiri sebelum ia bertukar pemilik kelak. 

Untuk anda yang ingin memiliki Mizuki ini, anda hanya perlu hadir dan membeli tiket kemasukan ke Art of Speed 2019 berharga RM20. 
 


Jadi, kosongkan agenda anda hujung 27-28 Julai ini dan saksikan sendiri keunikan dan kemeriahan suasana restorasi kustom yang dibawakan oleh Art of Speed 2019!