Jika anda perhatikan, barisan SUV Mitsubishi sangat rapat dimensinya antara satu sama lain, di mana Mitsubishi ASX dan Mitsubishi Eclipse Cross mempunyai saiz yang seakan-akan hampir.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi pegangan di dalam segmen SUV, Mitsubishi akan menyusun semula barisan SUV Outlander, Eclipse Cross dan ASX.
Pelan perancangan yang akan bermula dari tahun 2020 itu akan menyaksikan di mana saiz dimensi Outlander akan membesar dan ASX pula akan mengecil saiznya jika dibandingkan dengan saiz model sedia ada.
Walaupun sumber tidak memberikan sebarang perincian, Mitsubishi berkata akan ada perbezaan dimensi sepanjang 200 mm untuk setiap model, memberikan satu barisan SUV yang hampir serupa dengan Nissan (X-Trail, Qashqai dan Juke).
Mitsubishi ASX, atau Outlander Sport untuk sesetengah pasaran.
Dari segi trenkuasa pula, generasi baharu Outlander akan terus ditawarkan dalam varian plug-in hybrid, manakala Eclipse Cross akan menerima tambahan varian PHEV dan hibrid.
Untuk SUV kecil ASX pula, varian elektrik akan turut ditawarkan pada masa akan datang.
Mitsubishi juga tidak menolak kemungkinan bakal menghadirkan Mirage versi hibrid/elektrik untuk pasaran global.
Melihatkan kepada beberapa opsyen yang ada, Mitsubishi mungkin akan meminta pertolongan daripada pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi atau mungkin sekali bergerak solo untuk menghasilkan kereta bandar berkuasa elektrik untuk sesetengah pasaran.
gambaran artis Mitsubishi Mirage daripada platform Renault Clio
Sumber: Autocar