Biarpun muncul sarat dengan pelekat samaran, Mitsubishi mengesahkan konsep rekaan ini ditampilkan pada versi produksi (Triton/L200) yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Berdasarkan imej konsep dan gambaran daripada laman web Kolesa, Triton generasi baharu ini akan mengekalkan reka bentuk lampu utama jenis terpisah, yang terdiri daripada lampu nyalaan siang LED pada bahagian atas dan lampu utama pada bahagian tengah bampar.
Bahasa rekaan Dynamic Shield telah dimodenkan, di mana struktur jeriji kini lebih berpetak, diikuti dengan arka roda yang lebih muskular dan tayar off-road yang dikekalkan daripada XRT Concept.

Difahamkan, Mitsubishi akan turut menguji prototaip Triton generasi baharu ini pada acara perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2023 pada tahun ini.
Setakat ini, perincian berhubung trenkuasa masih lagi samar-samar, namun Mitsubishi telah mengumumkan Triton baharu ini akan mengguna pakai enjin diesel, serta transmisi serba baharu, serta casis yang dibangunkan baharu.
Berdasarkan laporan terdahulu, trak pikap generasi baharu Triton ini bakal berkongsi platform dengan trak Nissan Navara, dengan jarak antara roda yang sedikit panjang, serta rekaan dimensi bed yang lebih besar.
Sumber: Kolesa