
ek X EV adalah model kenderaan elektrik (EV) baharu dalam siri eK X Mitsubishi.
Kereta kecil dengan ciri kenderaan utiliti sukan (SUV) ini ditawarkan pada harga mampu milik dan jarak pemanduan sehingga 180 kilometer (mod WLTC).
Jarak itu tidak jauh namun sudah memadai untuk kegunaan harian. Balik dari pejabat sambungkan pengecas dan tinggal semalaman.
Satu perkara yang diberi perhatian ialah tujahan setinggi 195Nm dan hampir dua kali ganda berbanding model turbo petrol.
Sebagai sebuah kei-car tinggi, eK X mempunyai pelbagai ciri praktikal dan canggih dengan sistem bantuan pemanduan.

Dari segi saiz, eK X EV menawarkan ruang kabin yang sama luas dan selesa seperti model petrol dengan mengoptimumkan bentangan sistem EV.
Tanpa enjin dan kotak gear, para pereka dan jurutera perlu memikirkan bagaimana komponen elektrikal seperti bateri dan motor boleh dimuatkan pada kereta kecil sebegini.
Berat komponen juga perlu diambil kira dan pembahagian berat untuk eK X EV berjaya dicapai secara ideal dengan nisbah 56:44 di antara depan dan belakang.
Suspensi pula ditala untuk pengendalian yang lincah namun stabil untuk pemanduan tenang dan berkualiti.

eK X EV ditawarkan dengan teknologi bantuan pemanduan canggih MI-PILOT seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Bantuan Pengekalan Lorong (LKA).
Turut ditawarkan bantuan parkir yang boleh mengesan posisi untuk memarkir kereta dan berupaya menguruskan pergerakan untuk parkir secara mengundur, ke depan atau ke bahagian sisi.
Berkenaan harga, eK X EV ditawarkan dari 2,398,000 yen (RM77,084.05) hingga 2,932,600 yen (RM94,268.85).
Angka berpatutan untuk sebuah kereta elektrik!
Penulis: Muhammad Md Tajudin
