
RVR mula ditawarkan di Jepun pada 2010 dan usia bukan penghalang untuk sesebuah model terus dijual asalkan spesifikasinya diperbaharui.
Mitsubishi tidak ketandusan model kerana turut menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Eclipse Cross dan sedang giat membangunkan SUV kompak XFC Concept.
Walaupun berusia lebih sedekad, ASX sudah menjalani empat facelift dengan kali terakhir pada 2019 dan membawakan gayaan Dynamic Shield.
Satu lagi kelebihan ASX atau RVR ialah sistem pacuan empat roda (4WD) yang belum tentu wujud pada model saingannya.

Untuk model 2023 pasaran Jepun, Mitsubishi telah mempertingkatkan spesifikasi keselamatan agar selari dengan model baharu lain.
Sistem Amaran Titik Buta (BSW) dengan fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) kini dijadikan kelengkapan standard.
Teknologi tersebut khusus untuk varian teratas RVR sebelum dijadikan ciri standard pada RVR M 2023.

Bagi sebuah model yang berusia lebih sedekad, kesemua varian RVR 2023 dilengkapi ciri keselamatan canggih berikut:
- Mitigasi Pelanggaran Berdepan (FCM), Lampu Besar Automatik (AHB)
- Pencegahan Salah Mula (tersalah tekan pedal), Amaran Penukaran Lorong (LDW)
- Amaran Titik Buta dengan Bantuan Penukaran Lorong (BSW, LCA)
- Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Beg udara sisi dan tingkap
Selain itu, spesifikasi cuaca sejuk yang merupakan ciri standard untuk RVR 4WD dijadikan kelengkapan standard pada RVR 2WD.
Kelengkapan tersebut seperti cermin sisi dengan pemanas, corong pemanas belakang dan pendingin radiator untuk cuaca sejuk.

Dari segi penampilan, RVR M 2023 dilengkapi cermin sisi dengan lampu isyarat, pendakap arka roda dan riasan tepi seperti RVR G.
Berbeza dengan ASX tempatan yang menggunakan enjin 2.0 liter, RVR digerakkan enjin 4J10 MIVEC 1.8 liter SOHC yang menghasilkan 139 ps dan tork 172Nm.
Enjin itu mempunyai fungsi Auto Stop & Go (AS&G) dan dipadan bersama transmisi CVT Invecs III enam kelajuan dengan mod sport.
Ada tiga varian RVR di Jepun iaitu M, G dan Black Edition dan dijual dari 2,306,700 yen (RM78,108.06) hingga 2,832,500 yen (RM95,912.38)
Penulis: Muhammad Md Tajudin