Mitsubishi Pamer 10 Variasi Kustom Delica di Tokyo Auto Salon 2026

oleh Qalif Latif|
Mitsubishi Motors bakal menjadikan reruai mereka antara yang paling mencuri perhatian di Tokyo Auto Salon 2026 dengan menampilkan barisan Delica dalam 10 variasi kustom berbeza, merangkumi Delica Mini dan Delica D:5. Acara yang berlangsung dari 9 hingga 11 Januari 2026 itu diraikan sebagai Delica Festival dengan tema Unleash your playful spirit.

Walaupun Delica dan Delica Mini sering dilihat sebagai minivan praktikal untuk kegunaan keluarga, hakikatnya model ini sudah lama sinonim dengan dunia overlanding dan vanlife. Sejak generasi pertama diperkenalkan pada 1968, Delica terbukti menjadi platform ideal untuk mereka yang mahu keluar dari kesibukan bandar dan meneroka laluan luar jalan.

Delica Tokyo Auto Salon 20206

 

Delica Space Gear Jadi Ikon Paling Diingati

Antara varian paling ikonik ialah Delica Space Gear yang dihasilkan dari 1994 hingga 2006. Dengan suspensi lebih tinggi, tayar off-road dan sistem pacuan empat roda, model ini dianggap oleh ramai peminat sebagai versi Delica paling lasak pernah dihasilkan dan kekal popular dalam kalangan komuniti overlander sehingga hari ini.

Delica Festival Pamer Idea Kustom Tanpa Had

Untuk Tokyo Auto Salon 2026, Mitsubishi menampilkan pelbagai pendekatan kustom, daripada gaya comel sehinggalah kepada spesifikasi yang hampir menyerupai kenderaan taktikal.

Salah satu tarikan utama ialah kehadiran maskot rasmi Delica yang dikenali sebagai Delimaru. Versi khas Delica Mini Delimaru Festa tampil dengan patung Delimaru bersaiz besar dipasang pada roof rack, digandingkan dengan balutan grafik ala teksi dan liveri Delimaru yang ceria. Pendekatan ini jelas menyasarkan peminat budaya pop Jepun.

Delica Mini Ultimate Gear
Delica Mini Ultimate Gear
Delica Mini Active Camper
Delica Mini Active Camper
Delica Mini x “DALI” with DAMD
Delica Mini x “DALI” with DAMD


 

Empat Gaya Lasak Untuk Delica Mini

Bagi mereka yang lebih mementingkan keupayaan, Mitsubishi turut mempamerkan beberapa edisi Delica Mini berorientasikan off-road.

Ultimate Gear tampil dengan balutan dua tona ala ketenteraan, roof rack lengkap LED light bar, sand ladder, ruang simpanan tambahan serta tangga belakang. Suspensi dinaikkan sekitar 0.8 inci dan dipadankan dengan tayar lebih agresif.

Active Camper pula dinaikkan lebih tinggi, dilengkapi nudge bar, mud flap besar, bumbung pop top serta awning, menjadikannya sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan pengembaraan jarak jauh.

Wild Adventure Style menawarkan pendekatan lebih sederhana dengan roof rack dan mud flap tanpa modifikasi keterlaluan.

Edisi x DALI pula merupakan hasil kerjasama dengan pengeluar aksesori DAMD, menampilkan sentuhan retro menerusi roof rack berwarna, rekaan gril klasik serta lampu hadapan gaya lama.

Selain Delica Mini, Delica D:5 versi lebih besar turut dipamerkan dengan tema Ultimate Gear, Active Camper dan Wild Adventure Style, sekali gus menonjolkan potensi sebagai MPV lasak untuk kegunaan off-road sebenar.
Delica Tokyo Auto Salon 20206

Dua Versi Tidak Dipamerkan

Mitsubishi turut mengesahkan terdapat dua versi lain yang tidak dipertontonkan secara visual, iaitu Delica Mini TOMICA 55th Anniversary Edition dan Delica D:5 AXCR 2025 support vehicle.

Eksklusif Untuk Pasaran Jepun

Bagi peminat di luar Jepun, semua kenderaan Delica Festival ini disahkan hanya ditawarkan untuk pasaran domestik Jepun sahaja buat masa ini.

Jika konsep sebegini dibawa keluar ke pasaran antarabangsa, khususnya Asia Tenggara, Delica berpotensi besar menjadi antara MPV paling unik dan lasak dalam segmennya.

 

Delica Tokyo Auto Salon 20206


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam rombakan ini, Takao Kato akan terus kekal sebagai CEO buat sementara, sebelum beralih ke…
Berita Global
Mitsubishi Motors, yang 34 peratus dimiliki oleh Nissan, akan bekerjasama dengan Honda dan Nissan…
Berita Global
  Captur menggunakan rupa depan baharu dan begitu juga ASX dan kali ini lebih serius dalam…