Mitsubishi Lancer Evo TME dan 2 lagi hero Jepun ini kesemuanya untuk dijual!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Jika ditanya tentang perancangan kewangan yang baik, jawapan kerap didengar ialah utamakan hartanah dahulu berbanding kereta. Alasannya ialah kereta mempunyai susut nilai manakala hartanah pula akan sentiasa meningkat.

Benar, kereta mempunyai susut nilai namun tidak semua, perhatikan koleksi hartawan di barat yang mengumpul begitu banyak kereta yang begitu sukar untuk ditemui.

Kereta yang dikeluarkan di dalam edisi terhad juga sentiasa direbut dan bukan untuk dipandu sangat kerana kebanyakan masa disimpan di dalam garaj sahaja.

Sampai masanya, kereta tersebut akan dikeluarkan dan ditawarkan semula ke dalam pasaran. Harganya pula meningkat berkali ganda sampaikan tidak masuk akal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
2000 Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makkinen Edition White

 

Ini namanya pelaburan dan begitulah cara bijak pandai membuat duit. Tambahan pula kereta adalah aset yang senang dipindah milik (movable) berbanding hartanah.

Memandangkan di Eropah begitu banyak koleksi kereta hebat, acara bidaan adalah satu perkara biasa dan dianjurkan oleh organisasi khusus serta profesional.

Sekarang ini trend sudah berubah, kereta yang menjadi kolesi bukan sahaja model klasik buatan Eropah atau Amerika Syarikat tetapi juga sudah merebak kepada kereta buatan Jepun.

Tuan-tuan dan puan-puan, mempersembahkan dua buah Mitsubishi Lancer Tommi Makkinen Edition yang akan memasuki lot bidaan Classic Car Auctions (CCA) pada 3 Ogos depan di Warwickshire Event Centre, United Kingdom.

Acara bidaan minggu depan akan menampilkan dua belas unit model eksklusif buatan Nissan, Subaru, Honda dan Mitsubishi.

Selain dua unit Lancer Tommi Makkinen Edition tersebut, ada dua lagi model istimewa iaitu Subaru Impreza P1 dan Nissan Skyline GT-R V-Spec dengan warna Bayside Blue yang terkenal.

 

2001 Subaru Impreza P1


Lancer Tommi Makkinen Edition adalah model eksklusif bagi menghargai legenda tersebut yang berjaya meraih empat kali kejuaraan Perlumbaan Rali Dunia (WRC).

Unit pertama yang ditawarkan untuk bidaan didatangkan dalam warna Passion Red dengan jarak perbatuan 90,123 kilometer. Harga jangkaan untuk unit keluaran tahun 2000 ini ialah £15,000 (RM76,812) hingga £20,000 (RM102,416).

Unit kedua Tommi Makkinen Edition yang berwarna putih mempunyai jarak perbatuan lebih rendah iaitu 56,219 kilometer. Unit ini sebenarnya bukan versi UK tetapi baru sahaja diimport dari Jepun pada tahun 2018. Harga anggaran ialah £12,000 (RM61,486) hingga £15,000 (RM76,812).

Satu yang menarik apabila seteru Lancer Evo iaitu Subaru Impreza turut memasuki lot bidaan. Sama seperti Lancer Tommi Makkinen Edition, ini adalah unit Impreza P1 yang istimewa kerana dibangunkan di UK oleh Prodrive, pasukan dan penala hebat di sebalik kejayaan Subaru di dalam WRC. Impreza P1 juga dibina mengikut spesifikasi jalanan Eropah. 

Hanya 1,000 unit dikeluarkan dan kesemuanya dalam warna Sonic Blue. Unit yang bakal ditawarkan ini nanti adalah model keluaran tahun 2001 dengan harga anggaran £16,000 (RM81,962) hingga £20,000 (RM102,452).

Unit ini baru sahaja menerima kelulusan MOT (pemeriksaan kenderaan di UK) dan mempunyai jarak perbatuan 71,194 kilometer dan baru diservis tidak kurang daripada 804 kilometer.

 

2000 Nissan Skyline GT-R V-Spec


Sebuah lagi kereta legenda yang bakal memasuki bidaan ialah Nissan Skyline GT-R V-spec dalam warna terkenal Bayside Blue. Unit ini juga mempunyai jarak perbatuan rendah iaitu 65,017 dan baru sahaja menerima kelulusan MOT dan menjalani servis.

Harga jangkaan model ini ialah £30,000 (RM153,659) hingga £40,000 (RM204,879). Mereka yang berminat boleh menghubungi Classic Car Auctions di talian 01926 640888 atau email [email protected].

Menarik tawaran ini tetapi setahu kami, unit tersebut belum layak lagi untuk permit import kereta klasik kerana usianya yang masih belum mencecah 25 tahun. Sayang.

Penulis: Muhammad Md Tajudin