Mitsubishi Express 2020 - van panel pesaing HiAce di Australia

oleh Mohamad Hanif|
Anda mungkin tidak pernah mendengar nama Mitsubishi Express, namun di pasaran Australia, Mitsubishi Express sebenarnya merupakan versi tukar nama daripada Mitsubishi Delica, serta pernah menjadi nama bagi trak pikap Mitsubishi Forte.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nama tersebut bertahan sehingga generasi keempat sebelum Mitsubishi akhirnya menggunakan asas daripada Renault Trafic generasi ketiga untuk digunakan pada generasi terbaharu Mitsubishi Express - setelah tujuh tahun tanpa sebarang pengganti.

Walaupun nampak serupa, akan tetapi Mitsubishi tetap memberikan sedikit perubahan untuk membezakannya daripada model Renault Trafic, seperti contoh, rekaan gril yang lebih unik, namun tanpa kehadiran elemen identiti Mitsubishi, Dynamic Shield.

 


Mitsubishi menawarkan dua versi enjin diesel, iaitu 1.6 liter turbo berkembar (!) menghasilkan 138 kuasa kuda dan 340 Nm, serta enjin 2.0 liter turbo tunggal yang menjana 168 hp dan 380 Nm daya kilas yang memacu roda hadapan.

Versi enjin terendah hanya dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan, manakala versi teratas akan hadir dengan transmisi klac berkembar enam nisbah kelajuan.

Walaupun Mitsubishi Express ini hadir dengan pacuan roda hadapan standard, Mitsubishi tetap melengkapkan dengan ciri Extended Grip - mod yang boleh diaktifkan beserta dengan sistem kawalan cengkaman untuk pemanduan licin dan tidak mempunyai kadar cengkaman yang mencukupi.

 


Selain daripada dua versi enjin, Mitsubishi Express juga  hadir dengan dua versi badan yang berbeza, iaitu SWB (jarak antara roda pendek) dengan keluasan kargo sebesar 5,200 liter manakala versi LWB yang lebih panjang memiliki ruang kargo sehingga 6,000 liter.

Dari segi luaran, Mitsubishi Express didatangkan dengan dua pintu gelongsor serta pintu belakang dengan dua tetapan bukaan iaitu 90 darjah dan 180 darjah.

Keempat-empat ruang arca roda dihiasi dengan rim keluli bersaiz 16 inci manakala lokasi tayar simpanan pula diletakkan di bawah lantai ruang kargo.

Sesuai dengan karakteristik sebagai kereta kerja, Express didatangkan dengan tempat duduk jenis bench, tempat perehat tangan boleh laras, sistem audio yang menyokong Bluetooth dan USB, serta ruang meletak peranti pintar.

 


Ciri keselamatan pula terdiri daripada lima beg udara (termasuk beg udara dada), kawalan pelayaran, kawalan kelajuan manual, bantuan mula mendaki dan penderia parkir belakang.

Sementara itu, versi Express 2.0 liter akan menerima ciri tambahan seperti lampu penderia senja, pengelap cermin dengan penderia hujan, kamera undur, serta paparan yang disekalikan pada cermin pandang belakang.

Pilihan warna pula dihadkan kepada putih, hitam, merah dan Platinum Grey, manakala upholsteri pula hanya hadir dalam warna hitam semata-mata.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Tidak seperti penawaran terdahulu, Hiace Panel Van kini didatangkan dengan enjin diesel turbo 3.0…
Berita Global
Dari segi dimensi, van tinggi ini membawakan ukuran jarak antara roda sepanjang 4,318 mm, keupayaan…
Berita Global
Daihatsu Vizion-F Concept secara asasnya merupakan sebuah kenderaan komersial ringan berkuasa…