Disebut sebagai eK 'cross' EV, Mitsubishi eK X EV ini membawakan harga jualan bermula dari 1,848,000 yen (RM63,325) selepas subsidi daripada kerajaan Jepun yang bernilai 550,000 yen.
eK X EV membawakan penampilan sebuah kei-car yang diberikan elemen crossover, diikuti dengan rekaan Dynamic Shield yang menjadi identiti Mitsubishi pada rupa depan, serta pakej kabin yang sama seperti model Sakura.

Dari segi kuasa, Mitsubishi eK X EV datang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 63 hp dan daya kilas 195 Nm, sementara pek bateri yang dibangunkan serba baharu berkapasiti 20 kWh pula membenarkan jarak gerak sehingga 180 km untuk setiap cas penuh.
Ia turut menyokong pengecasan standard yang mengambil masa lapan jam, atau pengecasan pantas sekitar 40 minit untuk pengecasan hingga 80 peratus.
Selain daripada tiga mod pemanduan (Sport, Normal dan Eco), eK X EV turut hadir dengan sokongan operasi pedal tunggal (Innovative Pedal Operation Mode).

Antara kelengkapan di dalam ruang kabin termasuklan skrin paparan LCD bersaiz tujuh inci, skrin Display Audio bersaiz sembilan inci dengan sokongan sambungan peranti pintar Apple CarPlay dan Android Auto, slot pengecasan USB, dan penggunaan upholsteri gandingan kulit sintetik dan fabrik.
Mitsubishi eK X EV merupakan kereta Mitsubishi pertama yang hadir dengan sokongan parkir MI-PILOT secara automatik, diikuti ciri bantuan pemandu MI-PILOT lorong tunggal yang merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif, dan Bantuan Pengekalan Lorong.

Sama seperti Sakura, eK X EV boleh digunakan sebagai unit penjana kuasa elektrik untuk kegunaan isi rumah selama satu hari, ketika bencana atau ketika melakukan aktiviti luar.