Mitsubishi eK Space, eK X Space dilancarkan di Jepun - bermula dari RM56 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lalu, Mitsubishi telah pun melancarkan dua buah model kei-car iaitu eK Wagon dan eK X untuk pasaran Jepun dan kehadiran eK Space dan eK X Space baru-baru ini melengkapkan lagi barisan penawaran kei-car di sana.
Modenas

Secara asasnya, ia merupakan versi tukar lencana daripada model kei-car Nissan Roox dan diberikan perubahan yang besar di bahagian hadapan, terima kasih kepada rekaan signatur Dynamic Shield Mitsubishi.

 


Mengikut peraturan dan regulasi kelas kei di Jepun, kedua-dua model ini hadir dengan enjin tiga silinder sebaris 659 cc sama ada aspirasi natural atau versi turbo.

Versi NA mampu menjana 52 PS pada 6,400 rpm dan 60 Nm pada putaran enjin 3,600 rpm, manakala versi turbo pula menghasilkan 64 PS dan 100 Nm pada julat putaran enjin 2,400-4,000 rpm.

Menariknya, kedua-dua versi ini hadir dengan bantuan motor elektrik berkuasa 2.7 PS dan daya kilas 40 Nm yang lebih bertujuan untuk membantu fasa pecutan.

 


Sistem transmisi pula adalah jenis standard CVT dan turut dibantu dengan ciri seperti fungsi mula-berhenti enjin, VVT, sistem bantuan bateri, dan sistem pemulihan tenaga.

Dari segi dimensi, kedua-dua eK Space dan eK X Wagon memiliki ukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,4955 mm.

Ketinggian kei-car ini sekaligus memberikan ruang kabin yang lebih luas walaupun terbatas dek panjang dan lebar oleh regulasi kereta kei di Jepun.

 


Apa yang membezakan antara eK Space dan kembarnya adalah ketiadaan rupa Dynamic Shield pada eK Space, namun hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama halogen, rim bersaiz 14 inci yang sedikit sopan, serta enam warna pilihan yang merangkumi tiga pilihan warna dua tona.

Kedua-dua pintu gelongsor pula dilengkapi dengan ciri bukaan tanpa tangan, di mana anda boleh 'menendang' di bahagian bawah kenderaan untuk membuka pintu tersebut secara automatik.

 


Ruang kabin eK Space didatangkan dengan balutan fabrik berwarna cerah pada tempat duduk, sistem kawalan suhu dengan fungsi sentuhan, stereng balutan kulit, butang pandu mula, paddle shifter dan skrin infotainmen bersaiz 9 inci.

Sementara itu, varian eK X Space pula merupakan versi ala crossover yang menampilkan muka Dynamic Shield yang lebih garang, lampu projektor LED adaptif, kehadiran skid plate, rim aloi dua tona dan juga spoiler belakang.

Pilihan warna pula terdiri daripada tujuh warna monotona serta enam warna pilihan dua tona yang turut merangkumi warna Olive Green metalik yang digandingkan dengan bumbung putih.

 


Upholsteri fabrik turut ditawarkan pada eK X Space, namun hadir dengan warna yang lebih gelap dan premium, manakala model yang lebih teratas didatangkan dengan gandingan kulit sintetik perang dan fabrik serta jahitan kontras merah.

Dari segi keselamatan, hanya varian tertinggi sahaja didatangkan degnan cir My Pilot Mitsubishi yang merangkumi kawalan pelayaran adaptif, serta fungsi pengekalan laluan.

Namun, ciri standard yang tersedia terdiri daripada:

  • bantuan pengelakan pelanggaran
  • amaran keluar laluan
  • bantuan pengelakan keluar laluan
  • bantuan suluh tinggi automatik
  • brek kecemasan automatik
  • sistem pengecaman papan tanda
  • amaran lintasan trafik hadapan dan belakang

 


Setiap model eK Space dan eK X Space hadir dengan penawaran sehingga tiga varian, dengan harga jualan bermula dari 1,399,200 yen (RM56 ribu) sehinggalah 1,859,000 yen (RM75 ribu).

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Model terbaharu dari Mitsubishi Motors Malaysia itu akan dipasang di fasiliti produksi baharu yang…
Berita Domestik
Untuk pembeli Mitsubishi ASX, para pelanggan boleh memilih untuk trade-in kenderaan mereka untuk…
Berita Global
Masuko yang sudah 15 tahun berkhidmat akan digantikan buat sementara waktu oleh CEO Mitsubishi…