Mitsubishi Eclipse Cross 2021 facelift - rupa lebih berani, tambahan trenkuasa plug-in hybrid

oleh Mohamad Hanif|
Mitsubishi Motors Corporation hari ini secara rasmi melancarkan versi facelift SUV Eclipse Cross dengan membawakan pakej penggayaan yang lebih radikal serta penawaran trenkuasa yang lebih mesra alam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara perubahan yang dibawakan pada crossover Eclipse Cross ini adalah rupa hadapan yang telah direka semula, menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang lebih berani, layout lampu yang sedikit berbeza, serta pelindung bampar hadapan baharu.

Rekaan yang sleek itu diteruskan dengan bahagian belakang yang turut direka semula, memberikan penampilan yang lebih sofistikated, diikuti dengan lampu belakang tiga dimensi baharu.

 


Memasuki ruang kabin, Mitsubishi Eclipse Cross menerima kemasan warna hitam dengan aksen perak, serta tempat duduk balutan kulit kelabu, diikuti dengan penggunaan trim yang serupa pada panel pintu.

Sistem infotainmen pula adalah bersaiz 8 inci dan diposisikan semula ke arah pemandu bagi memudahkan penggunaan, sementara pad sesentuh yang ada pada model terdahulu telah dibuang bagi membenarkan lebih banyak ruang storan pada konsol tengah.

 


Dari segi penawaran enjin, Mitsubishi Eclipse Cross didatangkan dengan opsyen trenkuasa plug-in hybrid disamping penawaran enjin petrol sedia ada.

Ia menggunakan unit trenkuasa yang terdapat pada Outlander PHEV, iaitu enjin 2.4 liter 4B12 MIVEC yang digandingkan dengan dua motor elektrik yang membolehkan Eclipse Cross mendapat sistem pacuan empat roda 4WD.

Berdasarkan spesifikasi dari Outlander PHEV, ia mampu menghasilkan 170 PS dan 232 Nm daya kilas, dengan pek bateri 13.8 kWh yang mampu membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 65 km.  

Terdapat sehingga tiga mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu EV, Series Hybrid atau Parallel Hybrid.

 


Menurut Mitsubishi, Eclipse Cross yang telah dicaj penuh mampu menyalurkan kuasa kepada isi rumah sehingga 10 hari menerusi sistem Vehicle-To-Home.

Bagi mereka yang masih mahukan enjin konvensional, Eclipse Cross masih lagi ditawarkan dengan nadi 1.5 liter MIVEC turbo menghasilkan 161 hp dan 250 Nm daya kilas, dipadankan dengan transmisi CVT.

Dengan unit pengecas turbo yang kompak, ia mampu mengurangkan kadar penggunaan bahan api, dan dalam masa yang sama meminimumkan kesan sela turbo untuk pemanduan yang lebih mengujakan.