
Terbaru Mitsubishi memperkenalkan sebuah edisi istimewa di Jepun yang dikenali sebagai Delica D:5 JASPER dan mula dijual pada 17 November.
Delica D:5 JASPER diasaskan dari varian G-Power Package dengan lapan tempat duduk dan pelbagai kelengkapan.
Di antaranya kerusi pemandu berkuasa, kerusi pemandu dan penumpang dengan fungsi pemanas, pemijak tepi elektrik dan pintu but elektrik.
Pada bahagian dalam, kerusi JASPER dibalut kulit tiruan Granlux yang kalis air dan sulaman warna coklat dan turut diulang pada panel instrumen dan pelapik pintu.
Pada bahagian luar, JASPER dibezakan dengan gril depan dan hiasan lampu posisi dalam warna Eiger Gray Metallic dan rim aluminium dalam warna krom gelap.
Mitsubishi melekatkan logo JASPER pada pintu but dan grafik pergunungan dan rusa besar (elk) pada sisi badan.
Jasper adalah bahagian tengah Canadian Rockies di Alberta dan merupakan Taman Negara terbesar di Kanada.

Pembeli Delica D:5 juga boleh mendapatkan pakej aksesori JASPER dan dipadan bersama aksesori tulen seperti penghadang lumpur dan sebagainya.
Pakej itu dijual pada harga 135,740 yen (RM4,408.01) termasuk pemasangan.
Delica D:5 JASPER digerakkan enjin 2.2 liter diesel turbo DI-D dan padanan transmisi automatik lapan kelajuan dengan mod sport dan 4WD.
Van ini dijual pada harga bermula 4,425,300 yen (RM143,657.27).
Penulis: Muhamad Md Tajudin
