Mitsubishi Delica D:2 2023 diperkenal di Jepun, van mini bukan kei-car!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mitsubishi Delica D:2 Custom 2023
Mitsubishi Delica D:2 Custom 2023
Mitsubishi Motors memperkenalkan Delica D:2 dan D:2 Custom 2023 di Jepun dengan penambahan kelengkapan keselamatan dan beberapa pembaharuan lain.

Delica D:2 bukan sebuah kereta mini (kei-car) yang menyaingi Honda N-BOX tetapi berada dalam segmen van mini kompak.

Sebagai perbandingan, Delica D:2 mempunyai ukuran panjang 3.79 meter dan lebar 1.64 meter manakala N-BOX berukuran 3.39 meter panjang dan lebar 1.47 meter.

Delica D:2 diperkenalkan pada 2011 dan dijenama semula dari Suzuki Solio generasi keempat. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Mitsubishi Delica D:2 2023

Satu lagi perbezaan ketara ialah Delica D:2 menggunakan enjin besar 1.2 liter mild hibrid berbanding 660cc pada N-BOX atau kei-car lain.

Delica D:2 2023 didatangkan dengan beberapa perubahan seperti fungsi kawalan penukaran lorong pada sistem bantuan Mitsubishi e-Assist.

Fungsi itu membantu apabila kereta mula tersasar dari lorong untuk kembali ke laluan asal.

Satu lagi fungsi baharu ialah pintu gelangsar yang boleh dikunci dengan menekan suis pintu depan atau belakang semasa pintu gelangsar ditutup.

 

Mitsubishi Delica D:2 2023
Mitsubishi Delica D2 2023

 

Perubahan lain yang dibuat ialah warna baharu Caravan Ivory Pearl Metallic dan Tough Khaki Pearl Metallic yang menjadikan tujuh pilihan untuk Delica D:2.

Delica D:2 Custom pula mempunyai lapan warna termasuk empat warna dua tona seperti Tough Khaki Pearl Metallic dan bumbung Mineral Gray Metallic.

Dari segi kelengkapan, Delica D:2 hebat dengan sistem papar pandu (kecuali Hybrid MX) dan sistem bantuan pemanduan e-Assist seperti Kawalan Jelajah Boleh Suai. .  

Turut dilengkapi Sistem Pencegahan Pelanggaran (FCM), Bantuan Lampu Tinggi, Pengecaman Papan Isyarat Jalan dan beberapa lagi fungsi canggih.

 

Mitsubishi Delica D:2 Custom 2023
Mitsubishi Delica D:2 Custom 2023

 

Enjin 1.2 liter K12C VVT mempunyai kuasa 91 ps pada 6,000 rpm dan tork 118Nm pada 4,400 rpm dan dipadan bersama transmisi CVT.

Pakej elektrik terdiri daripada motor WA05A yang menghasilkan 2.3 kW (3.1 ps) pada 1,000 rpm dan tork 50Nm pada 100 rpm dan bateri litium-ion 3Ah.

Berkenaan harga, varian termurah Delica D:2 Hybrid MX 2WD dijual pada 1,960,200 yen (RM64,719).

Varian premium Custom Hybrid MV 4WD dengan pakej navigasi dan kamera semua arah (omnidirectional) pula berharga 2,476,100 yen (RM81,749).

Penulis: Muhammad Md Tajudin