Mitsubishi Colt muncul tahun 2023 - versi hibrid elektrik, guna platform CMF-B

oleh Mohamad Hanif|
Nama Colt yang telah dikuburkan sebelum ini bakal membuat kemunculan semula di Eropah pada tahun 2023 menerusi pelancaran model baharu, bertepatan dengan sambutan ulang tahun yang ke-60 sejak model asal Colt 600 dilancarkan pada tahun 1962.

Serentak dengan itu, Mitsubishi turut mendedahkan imej acah model Colt yang bakal muncul pada tahun depan.

Menurut Mitsubishi, model Colt baharu ini akan dibangunkan menggunakan platform CMF-B, pelantar yang sama digunakan oleh Renault Clio dan Nissan Micra.

Mitsubishi Colt 2023 bakal ditawarkan dalam varian hibrid elektrik berdasarkan lencana Hybrid EV pada bahagian pintu depan, berkemungkinan besar unit yang sama wujud pada model Clio E-Tech Hybrid.

Model Clio E-Tech Hybrid itu membawakan nadi 1.6 liter aspirasi natural yang dipadankan dengan motor elektrik, dan mampu menghasilkan kuasa gandingan 140 kuasa kuda.

Dengan padanan transmisi automatik enam kelajuan, pecutan 0-100 km/j boleh dicapai sepantas 9.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 180 km/j.
 

ASX


Selain daripada Clio, Mitsubishi sebelum ini turut mendedahkan teaser model crossover ASX yang juga akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Sama seperti Clio, ASX merupakan model yang dibangun menggunakan platform Renault, sebelum diberikan elemen rekaan tersendiri oleh Mitsubishi.
 

Colt 600


Bagi yang mengikut perkembangan Mitsubishi, nama Colt muncul pada tahun 1962 sebagai model sedan keluarga yang kecil, sebelum disusuli dengan model Colt 1000 dan Colt 1500 yang lebih besar.

Selain itu, Mitsubishi turut menggunakan kembali nama Colt ini pada model hatchback pacuan roda depan yang diasaskan daripada Mitsubishi Mirage bermula dari tahun 1978 hingga ke tahun 2002.

Generasi Colt yang lebih baharu muncul selepas itu dengan membawakan empat jenis bentuk badan iaitu hatchback tiga pintu, hatchback lima pintu, station wagon, dan juga tidak ketinggalan versi convertible hardtop!

 

Colt Mirage
Colt Ralliart
Colt Plus
Colt CZC