Antara pengumuman paling menarik ialah kepulangan semula nama legenda Pajero, yang sebelum ini dikenali sebagai Montero di beberapa pasaran termasuk Amerika Utara.
Model baharu Pajero akan kembali sebagai SUV lasak bersaiz penuh yang dibangunkan berasaskan casis ladder-frame, berkongsi asas dengan trak pikap Mitsubishi Triton.
Namun, Mitsubishi tidak sekadar menghidupkan semula satu model, sebaliknya merancang untuk menjadikan Pajero sebagai sebuah keluarga produk yang lebih luas.
Selain SUV utama tersebut, Mitsubishi turut merancang sebuah SUV kompak menggunakan nama Pajero serta sebuah model lebih kecil yang berpotensi memasuki segmen kei car di Jepun.
Pajero bersaiz kecil itu dijangka tampil dengan identiti tersendiri dan berbeza daripada Delica Mini yang kini dikenali sebagai antara kei car paling lasak di pasaran Jepun.
Dalam kumpulan produk berorientasikan off-road, Mitsubishi turut mengesahkan pembangunan sebuah MPV lasak yang dipercayai bakal menjadi pengganti kepada Delica D:5.
Model tersebut masih dijual di Jepun sejak diperkenalkan pada tahun 2007 dan hanya menerima dua kali kemas kini sepanjang hayatnya.
Selain itu, dua lagi SUV misteri turut berada dalam perancangan, bersama sebuah trak pikap baharu yang berkemungkinan besar merupakan Triton generasi yang dikemaskini.
Bagi pasaran ASEAN pula, Mitsubishi akan memperkenalkan generasi baharu Xpander, MPV crossover popular itu dijangka menerima sistem hibrid yang lebih moden bagi memenuhi permintaan pasaran serantau yang semakin beralih kepada teknologi elektrifikasi.
Daripada keseluruhan 13 model baharu yang diumumkan, lima daripadanya akan menggunakan sistem hibrid konvensional (HEV), manakala lima lagi bakal menggunakan teknologi plug-in hybrid (PHEV).
Tiga model selebihnya pula akan hadir sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV), menjadikan keseluruhan barisan produk masa depan Mitsubishi berasaskan teknologi elektrifikasi tanpa model enjin pembakaran dalaman konvensional sepenuhnya.
Mitsubishi turut mengesahkan pembangunan enjin generasi baharu khas untuk aplikasi sistem HEV dan PHEV yang dikatakan mampu mencapai kecekapan haba sehingga 48 peratus, antara yang terbaik di dunia.
Enjin generasi baharu tersebut akan digunakan merentasi pelbagai model termasuk SUV dan trak pikap yang menggunakan casis ladder-frame.
Sebahagian daripada model baharu itu akan dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan Nissan, antaranya termasuk sebuah SUV coupe elektrik berasaskan Nissan Leaf, sebuah SUV elektrik yang dibangunkan bersama Foxconn, dua model kei wagon yang ditawarkan dalam versi petrol dan elektrik, serta beberapa projek trak pikap baharu.
Menariknya, Mitsubishi turut mendedahkan kewujudan projek trak pikap khas untuk pasaran Amerika Utara hasil kerjasama dengan Nissan.
Pada masa sama, kedua-dua pengeluar Jepun itu sedang menilai pembangunan sebuah trak pikap global yang berpotensi menggunakan teknologi daripada Nissan Frontier Pro elektrik yang dibangunkan berasaskan platform Dongfeng Z9 di China.
Ketika ini, Nissan Navara pasaran Australia menggunakan asas Mitsubishi Triton, manakala Nissan Frontier Pro elektrik pula dibangunkan berasaskan teknologi China.
Tidak mustahil platform yang sama akan digunakan untuk model Mitsubishi masa depan, khususnya bagi pasaran yang mempunyai peraturan emisi lebih ketat.
Bagi mempercepatkan pembangunan produk baharu, Mitsubishi turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital dalam proses pembangunan kenderaan.
Langkah itu dijangka mengurangkan tempoh pembangunan daripada 45 bulan kepada hanya 36 bulan, sekali gus mempercepatkan pelancaran kesemua 13 model baharu yang dirancang.
Dengan kepulangan nama ikonik Pajero, pembangunan barisan SUV dan trak pikap generasi baharu serta komitmen besar terhadap elektrifikasi, Mitsubishi dilihat sedang memasuki fasa transformasi terbesar dalam sejarah moden syarikat itu.
Pelan jangka panjang itu bukan sahaja bertujuan mengukuhkan kedudukan jenama di pasaran global, malah memastikan Mitsubishi kekal relevan dalam era automotif yang semakin dipacu teknologi elektrik dan digital.