MITI - Malaysia sasar miliki 4,000 stesen pengecas EV tahun ini

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Malaysia dijangka menyediakan sehingga 4,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pada tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustriannya, Datuk Hanafi Sakri berkata Malaysia kini mempunyai 900 stesen pengecas EV.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

“Kami mempunyai pelan hala tuju nasional untuk stesen pengecas EV iaitu kami menyasarkan untuk mempunyai kira-kira 10,000 stesen pengecas menjelang 2025, terdiri daripada 1,000 unit jenis arus terus dan 9,000 unit jenis arus ulang-alik atau pengecasan perlahan.

 

“Berdasarkan momentum semasa, saya berpendapat kita akan dapat mencapai sasaran itu,” katanya pada sidang media pada Persidangan EV Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

 

Di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Malaysia menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030.

 

Hanafi berkata MITI menyokong sepenuhnya lanjutan pengecualian duti import dan duti eksais penuh untuk EV yang diimport sehingga 31 Dis 2024. 

 

Katanya kementerian telah mencadangkan untuk menambah baik ekosistem EV, terutamanya dari segi infrastruktur EV kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan berharap MoF akan mempertimbangkan cadangan tersebut dan diumumkan dalam belanjawan akan datang pada 24 Feb.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman dalam ucapan berkata sebagai sekretariat bersama dalam National EV Task Force (NEVTF), MIDA giat mencari peluang pelaburan di Malaysia dan memanfaatkan prospek untuk memacu segmen automotif EV.

 

gambar hiasan

Beliau berkata MIDA komited untuk menarik pelaburan berkualiti bagi menyokong rantaian bekalan EV dan ekosistem EV Malaysia, terutamanya dalam komponen kritikal seperti bateri EV, sistem pengurusan bateri, pek bateri, kecerdasan buatan dan infrastruktur pengecasan.

 

“Kami optimis bahawa EV akan menjadi lebih popular dan lebih arus perdana, terutamanya berikutan permintaan yang meningkat untuk pengangkutan hijau di rantau ASEAN,” katanya.

 

Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Phang Ah Tong berkata MARii turut menyokong komitmen Malaysia terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar menjelang 2050.

 

Beliau berkata institut menawarkan sokongannya dalam bentuk program pembangunan vendor seperti Program Kecemerlangan Pembekal Automotif, Program Sistem Pengeluaran Lean serta Program Kejuruteraan Digital dan Prototaip.

 

“Program ini menyediakan bantuan teknikal dan rundingan untuk meningkatkan kecekapan pembekal automotif tempatan untuk lebih berdaya saing dan mampan di peringkat global.

 

“Selain itu, beberapa pusat kecemerlangan seperti Pusat Reka Bentuk MARii, Pusat Ujian Emisi Kebangsaan (NETC) dan Akademi Teknologi MARii juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, ujian dan pembangunan teknologi kenderaan cekap tenaga,” katanya.

 

Phang berkata piawaian berkaitan industri EV seperti sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, pertukaran bateri, pengecasan tanpa wayar dan lain-lain turut dibangunkan bagi memastikan teknologi EV yang digunakan dan dibangunkan di negara ini adalah menyeluruh, selamat dan berkualiti.

 

 

Bernama