MITI - 5,149 unit pengecas EV awam dipasang di seluruh negara setakat 30 September

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Sejumlah 5,149 unit pengecas kereta elektrik (EV) awam dipasang di seluruh negara setakat 30 September, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat, MITI berkata daripada jumlah ini, 1,709 unit adalah jenis arus terus (DC), manakala 3,440 unit adalah jenis arus ulang-alik (AC).

"Dengan nisbah jumlah kemudahan pengecas EV awam sedia ada kepada jumlah kenderaan elektrik bateri (BEV) iaitu satu kepada lapan, jumlah pengecas EV awam ini adalah mencukupi untuk menampung kegunaan kira-kira 42,000 unit BEV bagi kenderaan penumpang yang telah berdaftar sehingga kini," kata MITI.

MITI menjawab soalan yang dikemukakan oleh Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai jumlah pengecas EV di seluruh negara dan cabaran mencapai sasaran 10,000 unit menjelang akhir 2025.

Menurut MITI, walaupun jumlah keseluruhan pengecas EV awam masih belum mencapai sasaran, jumlah bagi pengecas jenis DC telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 114 peratus daripada sasaran 1,500 unit.

"Keadaan ini menunjukkan perubahan corak penggunaan dalam kalangan pemilik kenderaan elektrik yang semakin cenderung kepada perkhidmatan pengecas pantas.

"Pengecas jenis DC adalah lebih sesuai untuk pengguna yang memerlukan pengecasan pantas ketika dalam perjalanan jauh atau di lebuh raya," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan daripada Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, MITI berkata pengecualian cukai jalan bagi BEV akan tamat pada 31 Disember 2025 dan cukai akan dikenakan bermula 1 Januari 2026.

Menurut MITI, kadar baharu cukai telah dilaraskan mengikut kapasiti motor elektrik (output kuasa kW), masih lebih rendah berbanding kadar cukai jalan kenderaan berasaskan kapasiti enjin pembakaran dalaman.

"Dasar kerajaan kekal konsisten dalam menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga dan kenderaan janaan elektrik (xEV), termasuk BEV.

"Fokus kerajaan adalah untuk membangunkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi dalam negara, khususnya pemasangan kenderaan elektrik secara tempatan, serta pembangunan vendor tempatan bagi pengeluaran komponen kritikal EV seperti bateri EV," tambah MITI.

TheEdgeMalaysia

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, kapasiti grid menjadi penghalang utama kerana pengecas arus langsung (DC) yang kini…
Berita Domestik
Ini merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan infrastruktur EV, melengkapkan rangkaian…
Berita Global
"Pengembangan stesen pengecasan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import,…