MITA rayu subsidi diesel diberi kepada pengusaha bas persiaran

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) hari ini merayu agar kerajaan mempertimbang pemberian subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran.

Presiden MITA Leong Hoon Min berkata ini kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi bas persiaran meningkat secara mendadak sekali gus membebankan para pengusaha dan memberi impak kepada tempahan awal pelancong.
Jaecoo J7 MREC Banner Campaign March 2025

"Kenaikan harga diesel RM1.20 memberi kesan kepada harga pakej pelancongan yang telah ditempah awal, yang mungkin berdepan dengan pembatalan.

Kita juga sedia maklum bahawa industri pelancongan juga baru sahaja pulih secara berperingkat selepas pandemik COVID-19," katanya pada sidang media berhubung pemberian subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran pada Rabu.

Beliau berkata keputusan kerajaan yang tidak memanjangkan subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran agak 'mengejutkan' justeru pihaknya memohon agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memanjangkan harapan MITA kepada kementerian berkaitan.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumum setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

Senada dengan Leong, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia Chong Sin Wah berkata kenaikan harga diesel secara tidak langsung mungkin menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan dalam negara.

"Sebut harga pakej dan kontrak yang telah dikeluarkan kepada pelanggan pada bulan ini juga tidak sempat ditarik balik kerana pembayaran penuh sudah dibuat," katanya.

Terdahulu, Leong dan Chong bersama-sama lebih 20 pengusaha bas persiaran menyerahkan surat rayuan berhubung permohonan subsidi diesel kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di bangunan MOTAC di Putrajaya.

Surat itu diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Mohd Yusri Mohd Yusoff.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Operasi bermula 10 malam dan berakhir 8 pagi itu membabitkan lokasi di Plaza Tol Juru, Plaza Tol…
Berita Domestik
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penguasa Kanan Bomba II Mohd.…
Berita Domestik
Menurutnya, berdasarkan siasatan, soket elektrik tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada…