
Tidak perlu jauh ke Eropah, negara jiran Indonesia turut membenarkan motosikal ICE ditukar kepada EV.
Satu daripada syarikat yang menawarkan khidmat pengubahsuaian ICE kepada EV ialah Electrogenic dari United Kingdom.
Menarik tentang syarikat ini, rangkaian kuasa elektrik yang dipasang jenis pasang siap (plug and play) dan projek pertama adalah sebuah Porsche 911!

Porsche 911 ini asalnya adalah sebuah model G-Body 1985 yang diubah suai kepada model 2.7 RS. Untuk menjadi sebuah EV, Electrogenic mengubahsuainya dengan memasang kit E62.
Kit itu terdiri daripada motor sejukan air 160kW dengan kuasa 215bhp dan tork 312Nm dan menggunakan transmisi kelajuan tunggal nisbah tetap.
Pecutan dari 0 hingga 97 kilometer sejam (km/j) tidak sampai lima saat!

Jika kuasa itu tidak memadai, kit E62s dengan motor 240kW menghasilkan 320 bhp dan tork 420Nm! Pecutan 0 hingga 97 km/j pula dalam masa 3.8 saat!
Bateri 62kWj dipasang di depan atau lokasi asal tangki minyak dan disangkut menggunakan cagak Electrogenic yang dibuat khas.
Jarak pemanduan pula dari 290 hingga 322 kilometer dan lebih daripada cukup untuk pemanduan harian.

Satu perkara tentang rangkaian kuasa elektik elektrik ialah berat yang perlu ditanggung.
Untuk Porsche ini, berat hanya bertambah 100 kilogram berbanding model ICE.
Turut dilengkapi pada 911 ini ialah mod pemanduan Eco, Sport dan Traffic dan canggih dengan fungsi pengembalian tenaga dari brek dan pendikit.

Walaupun rangkaian kuasa telah bertukar, keaslian masih dipelihara dengan meter asal diubah suai bagi memaparkan maklumat penting seperti jarak dan kelajuan pengecasan.
Untuk keselesaan penumpang, bahagian kabin dipasang pemanas elektrik.
Bagaimana pula dengan pengecasan? Pengecasan pantas CCS didatangkan sebagai kelengkapan standard dan tempoh untuk cas penuh hanya sekitar 50 minit.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
