MIROS sarankan latihan pemanduan kepada para pemandu ambulans

oleh Mohamad Hanif|
Satu lagi kes kemalangan melibatkan ambulan telah berlaku pada 23 Oktober 2018 yang melibatkan kematian pemandu manakala penumpangnya pula telah mengalami kecederaan.

Sepanjang tahun ini sahaja, beberapa kes kemalangan melibatkan ambulan telah direkodkan, contohnya pada 19 Julai yang lalu berhampiran Gurun dimana seorang pesakit telah maut manakala 5 lagi cedera apabila ambulan yang dinaiki terbabas.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Manakala pada 3 Julai yang lalu, seorang pesakit warga tua juga telah maut apabila ambulan yang dinaiki kemalangan akibat berlanggar dengan kenderaan dihadapan.

Mengikut analisa MIROS, statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh PDRM dari tahun 2006 hingga 2014 merekodkan 646 kemalangan melibatkan ambulan. 

Tahun 2006 mencatatkan 85 kemalangan dan angka tersebut meningkat kepada 140 kemalangan pada tahun 2009 dan seterusnya meningkat kepada 183 kes pada tahun 2013. 
 

Jumlah kes telah menurun pada tahun 2014 kepada 103 kes. 

Kebanyakan pemandu ambulan yang terlibat didalam kemalangan adalah berumur dari 30 hingga 39 tahun. 

Kes kemalangan yang berlaku juga kebanyakkannya melibatkan 2 kenderaan dan di jalan lurus. 

Risiko untuk ambulan mengalami kemalangan juga meningkat di kawasan luar bandar berbanding di bandar. 

Jenis kecederaan juga adalah lebih berisiko untuk menjadi lebih teruk bagi kemalangan di kawasan luar bandar, Ini adalah berikutan kelajuan kenderaan yang tinggi apabila melalui kawasan luar bandar. 


Bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat dan dapat mengurangkan risiko kecederaan dan kemalangan, Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran untuk Sektor Pengangkutan telah dibangunkan pada tahun 2007 oleh MIROS bersama beberapa kementerian lain.

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak, kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya kod amalan ini dipatuhi.

“Kod amalan ini menyediakan garis panduan kepada majikan dan pekerja tentang pengurusan isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Elemen-elemen utama yang ditekankan didalam kod amalan ini adalah pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan perjalanan dan risiko dan sistem jaminan kualiti” kata Dr. Siti Zaharah.

Pihak MIROS memandang serius kejadian seperti ini dan beberapa kajian khusus berkenaan ambulan telah dijalankan. 

Antaranya kajian yang dijalankan oleh pihak MIROS bersama Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR) pada tahun 2016 berhubung kemalangan yang melibatkan ambulan. 

Antara dapatan dari kajian ini mencadangkan agar pemandu ambulan diberikan latihan khusus berhubung teknik memandu ambulan.

Latihan boleh diberikan secara amali dan juga dengan menggunakan simulator pemanduan agar situasi-situasi pemanduan yang mencabar boleh dilatih dengan selamat. 

Pendedahan kepada teknik pemanduan dan situasi-situasi yang mencabar ini dapat membantu mereka untuk memandu dengan baik apabila berdepan dengan situasi sebenar.

Selain itu, latihan juga perlu diberikan secara berkala bagi memastikan semua pemandu kekal kompeten.
 


Mengulas lanjut berkenaan kes-kes kemalangan melibatkan ambulan, Dr. Siti Zaharah berkata, berdasarkan siasatan-siasatan kemalangan yang telah dijalankan oleh MIROS, antara punca kemalangan ambulan yang berlaku adalah akibat hilang kawalan.

“Ini adalah berkaitan dengan keperluan ambulan untuk dipandu laju ketika membawa pesakit. Sehubungan dengan itu, adalah disyorkan agar ambulan yang digunakan dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif dan pasif. 

“Penggunaan teknologi seperti ‘Electronic Stability Control (ESC)’ mampu meningkatkan kestabilan kenderaan terutamanya ketika memandu dalam suasana hujan dan di atas jalan raya yang licin. Selain itu, beg udara juga dapat membantu untuk mengurangkan tahap kecederaan terutamanya kepada pemandu dan penumpang hadapan sekiranya berlaku kemalangan”, tambah Dr. Siti Zaharah.

Pihak berwajib juga perlu memastikan penyenggaraan ambulan dijalankan mengikut jadual bagi memastikan ianya berada ditahap yang optimum.

Majikan terutama yang berada didalam sektor pengangkutan adalah disarankan untuk menganjurkan sesi latihan dan kursus pemanduan secara berhemah bagi meningkatkan tahap keselamatan perjalanan pekerja. 

Sebagai contoh, Program Sokongan Keselamatan Perjalanan ‘(Commuting Safety Support Program (CSSP))’ yang dijalankan oleh MIROS bersama PERKESO bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengurusan keselamatan perjalanan dikalangan majikan dan pekerja.

Ianya juga dapat membantu untuk mewujudkan pemandu kenderaan yang lebih mahir, berpengalaman, komited serta berkeyakinan dalam meningkatkan  perkhidmatan yang diberikan. 

Adalah diharapkan dengan pengendalian kursus seperti ini oleh majikan boleh meningkatkan tahap kompetensi pemandu dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk membantu ambulan membawa pesakit Covid-19 ke hospital dengan lebih segera, sekumpulan…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian terdapat…
Berita Global
Di bawah ialah senarai syarikat automotif di China yang menghulurkan bantuan. Ford Motor Syarikat…