MIROS Raih Pengiktirafan MIBAS — Bukti Keupayaan Teknikal dan Profesionalisme Dalam Pemeriksaan Jalan Raya

oleh Qalif Latif|
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sekali lagi mencatat sejarah apabila secara rasmi menerima Sijil Akreditasi di bawah Skim Akreditasi Badan-Badan Pemeriksa Malaysia (MIBAS) daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Majlis penyerahan berlangsung bersempena Road Safety Congress (RSC) 2025 dan Transport Expo Asia (TXA) 2025di Hotel Sama-Sama, KLIA. Penyerahan sijil disempurnakan oleh Pengarah Kanan Standardisasi JSM, En. Hussalmizzar Bin Hussain, kepada Ketua Pengarah MIROS, disaksikan oleh Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Dato’ Normah Binti Osman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Malaysia, serta Profesor Dr. Wong Shaw Voon, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS.

MIROS: Organisasi Pertama Diiktiraf di bawah Skop Road Safety Inspection

MIROS kini menjadi organisasi pertama di Malaysia yang diakreditasi di bawah skop Road Safety Inspection (RSI)mengikut piawaian antarabangsa MS ISO/IEC 17020:2012. Pengiktirafan ini membuktikan kecekapan, ketelusan, dan kebolehpercayaan MIROS dalam menjalankan pemeriksaan keselamatan jalan raya secara profesional dan bebas.

Melalui akreditasi MIBAS, setiap pemeriksaan jalan raya oleh MIROS kini dijalankan selaras dengan standard tempatan dan antarabangsa, memastikan hasil penilaian yang konsisten, berintegriti, dan sahih dari sudut teknikal. Setakat ini, MIROS telah melaksanakan pemeriksaan di lebih 250 lokasi di seluruh negara.

Miros

MIROS

Kukuhkan Keupayaan Teknikal Negara

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Binti Ishak, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi pasukan teknikal MIROS dalam memastikan setiap penilaian dilakukan secara telus dan berasaskan bukti.

Melalui akreditasi ini, MIROS kini mampu memperkukuh keupayaan teknikal negara dalam menilai dan memperkasa aspek pembangunan keselamatan infrastruktur jalan raya, seterusnya menyokong usaha kerajaan mempertingkat tahap keselamatan jalan raya secara menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar meningkatkan kredibiliti MIROS sebagai agensi penyelidikan keselamatan jalan raya nasional, tetapi juga meletakkan Malaysia di landasan untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang pemeriksaan dan penilaian keselamatan jalan raya berasaskan piawaian antarabangsa.

Tentang Road Safety Congress (RSC) 2025

RSC 2025, anjuran MIROS di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, diadakan dari 11 hingga 13 November 2025di Hotel Sama-Sama, KLIA, bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2025. Acara ini menghimpunkan lebih 1,000 delegasi, 3,000 pelawat perdagangan, dan 230 tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform utama bagi membincangkan hala tuju keselamatan jalan raya negara serta memperkukuh usaha penyelidikan dan dasar berasaskan bukti di Malaysia dan rantau Asia.

Tentang MIROS

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ialah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penjanaan dan penyebaran ilmu keselamatan jalan raya. Hasil penyelidikan MIROS digunakan dalam pembentukan dasar dan strategi keselamatan jalan raya di peringkat kebangsaan.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Microsleep berlaku apabila kita memandu dalam keadaan tanpa sedar untuk seketika. "Kadang-kadang…
Informasi
Menurutnya, terdapat situasi sesetengah lori tidak mempunyai laluan alternatif disebabkan kekangan…
Berita Domestik
Hasbi Rasmi Pembukaan, Umum Fokus Nasional ke Arah Mobiliti Selamat dan Mampan Majlis perasmian…