Ini merupakan ujian pembangunan kedua yang dibuat oleh MIROS bagi menguji keberkesanan sistem bantuan keselamatan, di mana kali pertama ia dilakukan adalah pada tahun 2018 terhadap sistem pemantauan titik buta bagi mengesan kehadiran penunggang motosikal ketika sedang bergerak.
Protokol terbaharu ASEAN NCAP ini bakal merangkumi empat tiang utama, iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), bantuan keselamatan (SA) dan perlindungan penunggang motosikal (MS).
Ujian terhadap sistem AEB bakal jatuh di bawah kategori bantuan keselamatan di mana ASEAN NCAP bakal menguji keberkesanan sistem yang dilengkapi pada kenderaan terkini.
contoh ujian AEB oleh Euro NCAP
Pembahagian markah untuk pengujian kenderaan baharu pula terdiri daripada 40 peratus untuk AOP, 20 peratus COP, 20 peratus SA dan selebihnya untuk perlindungan terhadap penunggang motosikal yang merupakan penambahan terbaharu terhadap struktur pemarkahan itu tadi.
Ia adalah berbeza berbanding sistem yang diamalkan pada ketika ini di mana pembahagian markah terdiri daripada 50 peratus AOP, 25 peratus COP dan selebihnya untuk aspek keselamatan.
Menerusi protokol yang bakal dilaksanakan pada Januari 2021 ini, ASEAN NCAP akan menguji sistem AEB dalam dua situasi berbeza, iaitu AEB City dan AEB Inter-Urban.
Ujian AEB City dibuat terhadap pemanduan dalam bandar dengan julat kelajuan 10 km/j - 60 km/j terhadap kenderaan yang tidak bergerak, manakala AEB Inter-Urban pula mengesan tahap keberkesanan sistem di bawah pemanduan berjulat 30 km/j - 60 km/j terhadap kenderaan yang sedang bergerak dalam kelajuan malar.
Sumber: Paultan