Minivan elektrik Xpeng X9 2024 debut di Guangzhou Auto Show, jarak gerak 702 km

oleh Mohamad Hanif|
Masih ingat dengan model minivan Li Auto Mega yang memiliki iras rupa seakan Hyundai Staria?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ya, model minivan yang aneh tersebut kini mendapat pesaing baharu, juga sebuah minivan elektrik dengan rupa paras yang lebih bersegi, dan dengan harga jualan yang jauh lebih murah, iaitu Xpeng X9 2024.

Berbanding model Li Mega, Xpeng X9 sebenarnya membawakan dimensi yang lebih kecil.
 

Xpeng X9


MPV tujuh tempat duduk ini berukuran 5,293 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,160 mm.

Sebagai perbandingan, dimensi pesaingnya Li Mega lebih besar, dengan panjang sehingga 5,350 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,850 mm dan jarak antara roda yang lebih panjang (3,300 mm).

Menurut Xpeng, X9 dikatakan satu-satunya MPV produksi massa dalam dunia yang menampilkan struktur badan aluminium tuang mati yang diintegrasikan depan dan belakang - menjadikan struktur casis yang lebih kuat.
 

X9


Bukan itu sahaja, Xpeng X9 juga datang dengan ciri stereng gandar belakang aktif, di mana minivan ini mencapai radius putaran sekecil 10.8 meter, terkecil di dalam kelasnya.

Sistem gantungan udara jenis double-chamber mempunyai larasan ketinggian sehingga 90 mm untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis keadaan pemanduan semasa.
 

X9


Biarpun dengan rekaan badan yang agak bersegi (lihat sahaja sudut pada cermin belakang), Xpeng X9 sebenarnya tampil dengan 17 ciri anti-seretan yang menjadikan angka pekali seretan minivan ini serendah 0.277 Cd.

Disebabkan dimensi yang agak besar, Xpeng X9 mampu menawarkan ruang kabin dan ruang kargo yang agak luas.
 

X9


Dengan ketinggian siling kabin sehingga 1,315 mm, Xpeng X9 mampu menawarkan ruang kargo maksimum 2,554 liter.

Tempat duduk baris kedua pula menawarkan fungsi sokongan graviti sifar, dan selain mempunyai rel elektrik sepanjang 1,100 mm, ia juga boleh dibaringkan hampir rata untuk mencipta ruang rehat yang lebih selesa.
 

X9


Selain daripada kehadiran skrin infohibur jenis terapung pada papan pemuka, Xpeng X9 turut menyediakan skrin tambahan sebesar 21.4 inci untuk tujuan hiburan penumpang baris belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah slot pengecasan peranti pintar pada konsol tengah, sistem pendingin hawa senyap X Free breath, serta peti sejuk dengan larasan suhu antara 0-50℃.
 

X9


Untuk pasaran China, Xpeng X9 boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal atau motor elektrik berkembar.

Versi pacuan roda depan mampu menghasilkan 315 hp, sementara model pacuan semua roda pula mempunyai angka output gandingan 496 hp.

Varian aras mula Xpeng X9 akan dilengkapi dengan pek bateri LFP 84.5 kWh, dengan jarak gerak sejauh 610 km (data CLTC), sementara versi yang lebih tinggi pula dilengkapi pek bateri 101.5 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 640 km untuk versi dua motor, atau sehingga 702 km untuk versi motor tunggal.
 

X9


Harga jualan Xpeng X9 bermula dari 388,000 yuan (RM252,326), jauh lebih murah berbanding harga jualan Li Mega (500,000 yuan atau RM325,162).

Baca: Li Auto Mega 2024