MiniGP SIC harus diteruskan dan tidak dibatalkan sepenuhnya

oleh SALINA JALIL|
Kejuaraan akar umbi MiniGP SIC yang terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu susulan wabak COVID-19 diharap dapat berlangsung pada tahun ini juga.


Mengikut jadual asal, MiniGP yang memberi tumpuan kepada pembangunan pelumba dua roda dari umur lapan hingga 13 tahun itu sepatutnya bermula pada 21 dan 22 Mac lalu namun atas sebab pandemik berkenaan, pihak penganjur terpaksa menundanya ke satu tarikh belum ditetapkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Begitupun, bagi pengurus program berkenaan, Zulfahmi Khairuddin, dia mengharapkan kejuaraan julung kali diadakan itu dapat berlangsung pada tahun ini juga selepas isu penularan wabak reda sepenuhnya.

 

“Belum tahu lagi, apa perkembangan semasa dari hari ke hari. Kita tidak dapat menentukannya (tarikh) kerana tak tahu berapa lama (COVID-19).

 

“Apapun, saya berharap perlumbaan dapat berlangsung pada tahun ini juga, kerana ada lima pusingan malah motosikal juga sudah ada,” kata Zulfahmi yang juga ikon bagi sukan permotoran dua roda negara.

 

“Saya berharap MiniGP dapat dijalankan… namun ini adalah program akar umbi. Saya berharap dapat menjalankannya seperti kejuaraan-kejuaraan yang lain. Begitupun, saya tengah menunggu perkembangan semasa (mengenai wabak COVID-19),” katanya.

 

Zulfahmi berkata, ada lima pusingan dalam kalendar sulung MiniGP ini membabitkan beberapa litar utama seperti litar go kart di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Litar Tangkak (Johor) dan litar Elite Plus Speedway (Selangor).

 

Program yang mula dicetuskan tahun lalu itu menerima 110 pendaftaran November lalu dan selepas proses saringan serta kelayakan, 84 peserta dipilih untuk mengikuti pemilihan fasa akhir yang diadakan pada 11 dan 12 Disember lalu.

 

Dua puluh peserta dipilih untuk mengikuti Kejuaraan bagi edisi 2020 manakala empat pelumba diletakkan sebagai pelumba simpanan dengan kejuaraan ini bakal menggunakan jentera dari Itali – Moto Bucci BR10GP- dengan kapasiti enjin 110cc dan 160cc.

 

 

BH