MINI Malaysia lancar MINI 3 Door, MINI 5 Door, dan MINI Convertible - dari RM253k

oleh Mohamad Hanif|
BMW Group Malaysia hari ini melancarkan tiga buah model baharu MINI 3 Door, MINI 5 Door dan MINI Convertible bersama-sama generasi baharu MINI Electric untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

MINI menawarkan enjin 2.0 liter MINI TwinPower Turbo yang berupaya menghasilkan 192 hp dan 280 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan dan pulangan bacaan penggunaan bahan api serendah 6 liter/100 km (6.3 liter/100 km untuk model Convertible).

Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam tempoh 6.7 saat (MINI 3 Door), 6.8 saat (MINI 5 Door) dan 7.1 saat (MINI Convertible) sementara kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 235 km/j (230 km/j untuk model Convertible).

 


Dari segi luaran, beberapa perubahan dibawakan bagi menjadikan rupa yang lebih progresif seperti contoh rekaan bampar hadapan baharu, gril hadapan berbentuk heksagon, tirai udara untuk tujuan aerodinamik, serta perumah lampu LED berwarna hitam berkilat.

Ketiga-tiga model ini juga boleh dibezakan dengan penawaran trim luaran Piano Black Exterior pada pemegang pintu, tip ekzos, logo MINI, lencana serta penutup tangki bahan api.

 


Sementara ruang dalaman ketiga-tiga MINI ini menampilkan roda stereng yang telah direka semula dengan jejari melintang, serta kedudukan butang fungsi yang diintegrasikan kemas dengan kemasan Piano Black.

Geometri hiasan pada kokpit juga kini dikemaskan dengan rekaan baharu sementara liang pendingin udara juga turut dimodenkan sebelum diserikan dengan ciri pencahayaan MINI Ambient Light.

Sistem paparan terdiri daripada kluster digital bersaiz lima inci paparan berwarna dengan teknologi panel hitam, sementara skrin infotainmen pula bersaiz 8.8 inci yang lengkap dengan ciri Navigation dan Apple CarPlay.

 


Ciri keselamatan pula terdiri daripada Driving Assistant secara standard yang merangkumi bantuan suluhan tinggi, informasi had kelajuan, fungsi brek dalam bandar, Parking Assistant, serta Lane Departure Warning yang mampu berfungsi pada kelajuan 70 km/j-210 km/j.

MINI 3 Door dan MINI 5 Door ditawarkan dalam warna White Silver, Island Blue, Chili Red, British Racing Green dan Rooftop Grey, lengkap dengan bumbung Jet Black dan jalur bonet hitam, sementara MINI Convertible pula datang dalam warna eksklusif Zesty Yellow, White Silver, Island Blue, Chili Red, dan British Racing Green serta MINI Yours Softtop.

 


Harga jualan adalah seperti berikut:

  • MINI Cooper S 3 Door - RM253,318.69
  • MINI Cooper S 5 Door - RM261,005.83
  • MINI Cooper S Convertible - RM274,360.46

Dengan pembiayaan MINI Balloon Financing, anda boleh mendapatkan bayaran bulanan untuk MINI 3 Door serendah RM2,808.00, MINI 5 Door pada harga RM2,898.00, atau MINI Convertible pada harga RM3,048.00 berdasarkan pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun.

 

MINI 3 Door

 

MINI 5 Door

 

MINI Convertible