MINI John Cooper Works 306HP untuk Countryman dan Clubman dilancarkan

oleh SALINA JALIL|
MINI Malaysia, jenama premium memperkenalkan dua jentera baharu iaitu MINI John Cooper Works Countryman 306HP dan MINI John Cooper Works Clubman 306HP, kedua-duanya dilengkapi dengan enjin baharu berkuasa tinggi 306 kuasa kuda dan tork sehingga 450 Nm.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP baharu ini merupakan model yang paling berkuasa tinggi yang pernah dikeluarkan dalam sejarah MINI yang berusia 60 tahun. 

 


Ia menjanjikan pemanduan yang menyeronokkan dengan enjin empat silinder yang direka semula secara komprehensif lantas memastikan jentera sport tersebut menerajui segmen kompak premium.” 
 

Dari segi penampilan, JCW Countryman 306HP kini hadir dengan panel trim bampar baharu dan saluran udara terbuka di kedua-dua sisi. Di belakang pula terdapat muncung ekzos lebih besar yang berukuran 85 mm.

 

JCW Clubman 306HP didatangkan dengan reka bentuk yang diubah menerusi gril honeycomb, bampar hadapan yang diubah suai, spoiler hadapan serta sisipan di bawah gril.

 

px4


Lampu hadapan adalah dari jenis LED Matrix Light Functionality dan lampu belakang juga dari jenis LED dan dalam corak rekaan bendera Union Jack. Ia juga mempunyai ekzos yang lebih besar dengan ukuran diameter 95 mm.
 

Kedua-dua model JCW ini dilengkapi dengan rim dua tona JCW Circuit berukuran 19 inci. JCW Clubman 306HP ditawarkan dalam warna Rebel Green, White Silver, Midnight Black dan Chili Red, sementara JCW Countryman 306HP boleh didapati dalam Rebel Green, Light White, Midnight Black dan Chili Red.
 

 

Di bahagian kabin pula, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi dengan material kulit Carbon Black Dinamica, serta stereng kulit JCW, kluster instrumen JCW, trim paparan sentral JCW, skrin mula JCW dan ambang pintu JCW.

 

px5

 

Ia juga menampilkan papan permukaan kokpit MINI Yours dalam warna Piano Black dengan 12 warna pencahayaan ambien, serta bumbung matahari panoramik.

 


Antara kelengkapan standard yang ada termasuk Head-Up Display, skrin sentuh 8.8 inci dengan sim kad 4G, aplikasi MINI Connected dan sistem audio Harman Kardon.
 

 

Seperti yang tertera pada namanya, kedua-dua model JCW ini mempunyai 306 kuasa kuda pada 5,000 – 6,250 rpm dan 450 Nm pada 1,750 – 4,500 rpm.

 

Kuasa ini dibekalkan oleh enjin TwinPower Turbo 2.0-liter yang dilengkapi dengan aci engkol baharu.

 

Selain itu, nisbah pemampatan enjin tersebut dikurangkan daripada 10.2 kepada 9.5 manakala pengecas turbo dipasangkan dengan injap pemampat pintasan untuk tindak balas yang lebih baik.

 

Saluran udara juga dijarakkan sejauh mungkin untuk memberikan pengaliran udara yang lebih baik.

 

px 3


Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, JCW Clubman 306HP mampu memecut 0-100 km/j dalam 4.9 saat manakala JCW Countryman 306HP melakukannya dalam 5.1 saat. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua model adalah 250 km/j.


Gear jentera juga boleh ditukar secara manual. Dengan memilih mod Green, fungsi luncur boleh diaktifkan sebaik sahaja pedal pemecut dibebaskan pada kelajuan antara 50–160 km/j.


Sistem brek dipertingkatkan dengan cakera berukuran 360 mm di hadapan dan 330 mm di belakang, serta angkup empat piston berwarna merah lengkap dengan logo JCW.


Bagi sistem suspensi, JCW Clubman 306HP didatangkan dengan suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 10 mm, manakala JCW Countryman 306HP mendapat sistem suspensi adaptif.

 

 

Kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP ditawarkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma.


Harga jualan (atas jalan tanpa insurans) adalah RM358,888 bagi JCW Clubman 306HP dan RM378,888 bagi JCW Countryman 306HP.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada 2011, MINI Countryman telah mendapat…
Berita Global
  MINI John Cooper Works mempunyai akar dari sukan permotoran dan penawaran terbaru ini memang…
Berita Global
  Kali terakhir JCW berlumba di Perlumbaan 24 Jam Nürburgring adalah sepuluh tahun lalu. Unit…