Mini EV X2: kereta elektrik marhaen, RM13.8k sahaja?

oleh Mohamad Hanif|
Di tengah-tengah kekecohan yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia tempoh hari, wujud pula satu iklan tentang kehadiran kereta elektrik baharu yang bakal memasuki pasaran Malaysia kelak.

Mini EV X2 merupakan sebuah produk EV yang hadir daripada China menerusi syarikat Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry (panjangnya nama!) dan membawakan rekaan yang diinspirasikan daripada Mini.

 


Ia juga membawakan spesifikasi jarak perjalanan sehingga 120 km dan mampu dicaj menggunakan plug domestik dengan masa pengecasan sekitar lapan jam sahaja.

Selain daripada itu, beberapa ciri menarik lain seperti kluster instrumen digital, lampu LED, kamera undur, serta ruang kargo '850 liter' yang dilihat agak mustahil untuk dicapai menerusi kereta kecil ini.

Apa yang menyedihkan, angka prestasi yang dipaparkan juga tidak begitu mengujakan.

 


Manakan tidak, pecutan dari 0-50 km/j mengambil masa kira-kira 25 saat, dengan kelajuan tertinggi sehingga 50 km/j, atau 80 km/j menerusi versi 'High Speed', dengan pengecasan sehingga 800 kali sahaja.

Kereta elektrik Mini EV X2 ini boleh dipandu oleh semua orang dengan minimum lesen B1 sahaja (lesen B1 boleh pandu kereta?).

 


Tinjauan Careta melayari sendiri laman web miniev.online (laman rasmi Mini, bukan MINI Malaysia) mendapati anda juga boleh mendaftarkan minat untuk membeli menerusi pautan yang disediakan di dalam laman tersebut.

Namun, harus diingatkan supaya berhati-hati terutama ketika melakukan transaksi wang ini kerana laman web tersebut tidak menyertakan nombor rasmi untuk dihubungi serta beberapa informasi penting untuk dirujuk, walaupun terdapat nombor akaun bank CIMB untuk urusan pembayaran.

 


Malah, berdasarkan semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh rakan media daripada PanduLaju turut mengesahkan bahawa tiada sebarang permohonan yang diterima berkenaan model tersebut.

Ini bermakna, Mini EV X2 juga belum mendapat kelulusan Vehicle Type Approval (VTA) untuk digunakan secara rasmi di atas jalan raya.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Kit berharga £6,400 (RM30,707) tersebut merangkumi pakej lengkap yang terdiri daripada motor…
Berita Global
Bercakap pada satu sidang pelabur dalam talian, naib presiden eksekutif GM Doug Parks mendedahkan…
Berita Global
Manakan tidak, projek untuk menghasilkan sebuah kereta elektrik bukanlah satu perkara yang boleh…