Mini Dedah Dua JCW Konsep Paling Gila: Machina & Skeg

oleh Qalif Latif|
Mini bersama jenama gaya hidup Deus Ex Machina tampil dengan dua buah kereta konsep berasaskan John Cooper Works (JCW) yang memang lain daripada biasa. Kedua-duanya dinamakan Machina dan Skeg, satu dikuasakan enjin petrol manakala satu lagi elektrik penuh. Apa yang sama? Kedua-duanya tampil ekstrem dari segi rekaan, livery unik, kabin stripped out, dan DNA perlumbaan yang jelas.

Machina: Jiwa Litar

Mini

Machina menggunakan JCW petrol 2.0L turbo dengan 228 hp dan 380 Nm, tetapi apa yang lebih menonjol ialah penampilan luarnya. Ia dihias livery merah putih hitam, fender yang dilebarkan, lampu retro di atas hood, gril khas, sayap besar gaya Can Am, serta diffuser agresif. Bahagian lampu utama diganti dengan bar LED, memberi ruang kepada saluran udara tambahan.

Mini


Masuk ke kabin, terus terasa seperti jentera litar tulen. Ia dilengkapi kerusi bucket dengan harness lima poin, stereng tiga jejari, plat lantai aluminium, roll cage terdedah, brek tangan hidraulik serta toggle switch ala kereta rali.

Skeg: Inspirasi Surf

Mini

Berbeza dengan Machina, Skeg menampilkan gaya santai pantai. Badannya memakai grafik perak, hitam dan kuning dengan panel fiberglass separa lut sinar, teknik yang diinspirasikan daripada papan luncur. Fender luas dan ringan, diffuser kuning terang, rim perlumbaan serta “Flex Tip Surf Spoiler” di bumbung melengkapkan gaya.

Mini


Interior pula dilengkapi bucket seat dengan upholsteri neoprene, tali sebagai pemegang pintu, panel fiberglass separa lut sinar, serta tray khas untuk wetsuit. Malah, sebuah papan luncur diletakkan di atas bumbung, diikat dengan tali kuning yang kelihatan dari luar.

Bukan Tentang Kuasa, Tapi Personaliti

Walaupun rupanya garang, kedua-dua model tidak menerima talaan prestasi tambahan. Machina kekal dengan spesifikasi asal JCW petrol 228 hp, manakala Skeg elektrik menghasilkan 255 hp dan 350 Nm. Kedua-duanya berdiri di atas casis JCW standard, menekankan bahawa fokus utama projek ini ialah ekspresi reka bentuk, bukannya angka kuasa.

Mini

Mini x Deus: Dari Kereta Ke Fesyen

Kedua-dua konsep ini hanya akan kekal sebagai one off dan tidak akan memasuki produksi. Namun, kolaborasi ini akan diperluaskan dengan pelancaran koleksi pakaian Mini x Deus Ex Machina pada 8 September di IAA Mobility Show, Munich yang kali ini boleh dibeli oleh peminat.

Sumber: Carscoops