MINI Countryman EV 2024 - crossover MINI paling besar, jarak gerak 462 km

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada model MINI Cooper EV, jenama Britain itu turut sama melancarkan crossover generasi ketiga berkuasa elektrik MINI Countryman EV 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak seperti MINI Cooper EV, MINI Countryman 2024 akan dibina sepenuhnya di kilang BMW Group di Leipzig, Jerman yang bakal bermula pada tahun ini.

Dari segi dimensi, Countryman EV 2024 membawakan ukuran sepanjang 4,433 mm, lebar 1,843 mm, tinggi 1,656 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,692 mm, menjadikannya crossover paling besar pernah dihasilkan oleh MINI.
 

MINI


Penambahan dimensi ini menjadikan ruang bahu bertambah sebanyak 3 cm di depan dan 2.5 cm di bahagian belakang, diikuti dengan ruang kargo sebesar 460 liter (+55 liter) yang boleh dibesarkan sehingga 1,450 liter (+175 liter).

Sama seperti model Cooper EV, rekaan Countryman EV yang serba minimalis dan aerodinamik itu membolehkannya mencapai angka pekali seretan (Cd) serendah 0.26 sahaja, berbanding 0.31 pada model terdahulu.
 

EV


Berteraskan bahasa rekaan Charismatic Simplicity, MINI Countryman ini membawakan muka baharu dengan unit lampu yang lebih bersegi, jeriji hadapan berbentuk oktagon, serta bampar yang sedikit agresif.

Tiang-tiang A, B, C dan D yang sengaja digelapkan itu menjadikan rekaan bumbung seakan terapung, sementara keempat-empat sudut dipasangkan rim bermula dari saiz 17 inci hingga 20 inci bergantung kepada varian.

Menjadikan bahagian profil sisi lebih bersih ialah pemegang pintu yang tertanam kemas, diikuti dengan rekaan fender yang dikemaskan dengan plastik pelindung arka roda yang lebih nipis.

Elemen rekaan bendera Union Jack juga turut dikekalkan pada unit lampu belakang Matrix LED MINI Countryman ini.
 

EV


Pendekatan rekaan minimalis pada ruang kabin MINI Cooper EV turut diterapkan pada ruang kabin MINI Countryman EV, terutama papan pemuka yang lebih ringkas, skrin tengah bulat OLED bersaiz 9.4 inci dengan sistem operasi MINI Operating System 9 berasaskan Android, skrin paparan head-up dan juga sistem pencahayaan ambien.

Terdapat sistem bantuan maya AI yang disertakan, diikuti dengan lapan pilihan Experience Modes yang boleh disegerakkan dengan sistem pencahayaan ambien itu tadi.

MINI Countryman EV boleh didapati dalam dua varian trenkuasa.
 

EV


Versi Countryman E menampilkan motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan berkuasa 201 hp dan 250 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat dan kelajuan tertinggi 170 km/j.

Pek bateri 64.7 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 462 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Sementara Countryman SE ALL4 pula menawarkan sistem pacuan semua roda dengan kuasa 308 hp dan 494 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.
 

EV


Countryman versi kuasa tinggi itu menawarkan jarak gerak sejauh 433 km untuk sekali cas penuh.

Kedua-dua versi menyokong pengecasan pantas DC sehingga 130 kW, di mana pek bateri boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang 30 minit, atau pengecasan AC sehingga 22 kW.

Selain daripada versi elektrik sepenuh masa, MINI Countryman juga bakal ditawarkan dalam versi enjin pembakaran dalaman, namun perinciannya tidak didedahkan buat masa ini.